Peserta layang-layang Melaka teruja

Peserta layang-layang Melaka teruja

Pierre bersama isterinya, Riquier sentiasa menantikan festival layang-layang dianjurkan di Melaka

KLEBANG 23 Sept. – Festival Layang-Layang Wau Antarabangsa Melaka 2018 dan Pesta Layang-Layang Bercahaya Antarabangsa merupakan acara berprestij bertaraf antarabangsa yang amat dinanti-nantikan peminat layang-layang dari seluruh negara.

Acara berkenaan yang bermula semalam sejak ia dimasukkan ke dalam kalender pelancongan negeri pada 2015 berupaya mengumpulkan penyertaan 110 peserta terdiri dari dalam dan luar negara, termasuk China, Taiwan, Perancis, Singapura, Indonesia dan Mongolia.

Seorang peserta dari Perancis, Jean Pierre Durrand, 60, yang bersama isterinya Frederique Riquier, 57 berkata, beliau amat menanti program sedemikian diadakan di Melaka.

Katanya, festival itu amat menarik kerana beliau mampu menunjukkan keunikan layang-layang berbentuk kartun Smurf berwarna biru yang menjadi ikon negara Perancis.

“Saya bersama isteri telah beberapa kali menyertai festival seperti ini, ia amat menyeronokkan menunjukkan keunikan yang kami miliki kepada orang ramai.

“Dan festival seperti ini amat kami nantikan setiap tahun, terutamanya di Melaka kerana keindahan sejarah di milikinya dan rakyatnya yang sangat baik,” katanya

Seorang peserta dari Indonesia, Ellie Saat, 65, berkata, festival berkenaan membuka ruang buatnya untuk menambah rakan-rakan yang mempunyai minat sama dengannya

Jelasnya, beliau telah dua kali menyertai festival ini setiap kali ia dianjurkan di Melaka.

“Ini kali kedua saya datang dan dapat saksikan kemajuan dari segi penganjurannya, lebih bagus berbanding tahun lepas di mana lokasinya lebih dekat dengan pantai.

“Angin pantai yang kuat memudahkan saya menaikkan layang-layang yang dibawa, itu sahaja sudah cukup memuaskan hati,” katanya.

Sementara itu seorang lagi peserta negara ini, Norsharizah Abdul Hamid, 35, berkata, sukan layang-layang ini membolehkan dia menghilangkan stress, apatah lagi ia tidak memerlukan modal besar untuk bersukan.

“Tak perlukan modal yang besar seperti sukan lain dan bilangan pasukan yang ramai

“Dan kita boleh bermain layang-layang setiap masa, asalkan ada angin,” katanya.

Festival itu yang berlangsung selama dua hari sejak semalam telah menarik ribuan pengunjung dan dirasmikan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis.

 

CATEGORIES
TAGS