Pesilat UTeM rangkul 2 emas, 1 perak

DURIAN TUNGGAL 5 Mac – Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul dua pingat emas dan satu perak pada Kejohanan Pencak Silat Peringkat Negeri Melaka 2019, baru-baru ini.
Pasukan menerusi Kelab Pencak Silat UTeM itu bakal bersaing mewakili Melaka ke Pertandingan Silat Kebangsaan yang bakal diadakan di Pahang hujung Mac ini.
Pengarah Pusat Sukan UTeM, Dr. Rosli Saadan berkata, pasukan itu membawa seramai tiga dari enam ahli Kelab Pencak Silat UTeM iaitu Fatin Hazeerah Zaimee dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) yang meraih pingat emas bagi kelas A.
“Manakala, Nurul Fadiah Ismail dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) meraih pingat emas bagi kelas B dan Amierul Daniel Mohammad Hanafiah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP) menerima pingat perak bagi kelas A.
“Mereka yang menerima pingat itu dipilih mewakili Melaka ke Pertandingan Silat Kebangsaan bersama wakil dari enam lagi persatuan yang turut bertanding pada kejohanan tersebut,” katanya.
Kejohanan Pencak Silat Peringkat Negeri Melaka yang diadakan selama tiga hari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota, Bukit Serindit merupakan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Melaka.