PH kekal kerajaan negeri sah – Adly
Jangan buat sebarang spekulasi....

PENGKALAN BALAK 28 Feb. – Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 13 kerusi di negeri ini masih kerajaan yang sah dan setakat ini tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PH mahu pun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang membuat perisytiharan menyokong Barisan Nasional (BN).
Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri, Adly Zahari hari ini berikutan ada dakwaan pemimpin UMNO, kononnya BN sudah bersedia untuk membentuk kerajaan negeri berdasarkan 13 kerusi UMNO dan hanya menunggu dua lagi sokongan kepada BN daripada mana-mana ADUN.
Sehubungan itu, Adly bertegas mempertahankan kedudukan 13 kerusi PH sebagai faktor kukuh untuk terus menerajui kerajaan negeri kerana mendakwa, dua ADUN dari BERSATU kekal menyokong PH.
Bagaimanapun, PH sudah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan berhubung kedudukan kerajaan negeri berasaskan situasi politik negara secara keseluruhannya, katanya.
Adly menegaskan, pemimpin BN, khususnya Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bebas mendakwa kononnya BN sudah hampir pasti mampu membentuk kerajaan negeri tetapi selagi tiada bukti yang dikemukakan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, ia disifatkan sebagai sekadar dakwaan politik.
“Beliau bebas membuat sebarang dakwaan dan kalau benar ada, beliau boleh membawa bukti Aduan Bersumpah (SD) kononnya ada majoriti kerusi kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri.
“Saya sudah mengarahkan semua EXCO supaya menjalankan tugas seperti biasa kerana kita masih kerajaan negeri yang sah,” katanya selepas menziarahi lima anggota komuniti di tiga kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dalam program Ziarah Kasih, di sini hari ini.
Adly menyampaikan wang dan bahan makanan sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kepada mereka. Yang turut hadir, Penyelaras DUN berkenaan, Datuk Halim Bachik.
Beliau mengulas kenyataan Ab Rauf yang disiarkan sebuah stesen televisyen swasta semalam yang mendakwa beliau mempunyai 13 SD ADUN Melaka dari UMNO dan hanya menunggu dua lagi ADUN dari mana-mana parti yang menyokong BN untuk membentuk kerajaan negeri.
Setakat ini, ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Paya Rumput, Mohd Rafiq Naizamohideen dari BERSATU kekal bersama parti berkenaan selepas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan BERSATU keluar PH dan mereka tidak menyatakan sebarang sokongan kepada BN.
Adly juga berkata, jika ada mana-mana EXCO tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PH, ia harus dinyatakan dalam mesyuarat EXCO dan beliau bersedia untuk mengambil tindakan mencuba mengatasi masalah berkenaan.
“Kita ada mesyuarat mingguan dan segala masalah yang timbul boleh dibawa untuk dibincangkan kerana kita bekerja untuk rakyat,” katanya.