PH Melaka ‘ligat’ tunai janji manifesto
Perubahan dibawa PH di Melaka beri manfaat kepada rakyat Negeri Hang Tuah ini. Baru steady

OLEH Yusri Sahat
TANGGAL 9 Mei 2019 bukan sekadar tarikh biasa dalam sejarah negara dan negeri Melaka.
Tarikh itu menandakan genapnya setahun pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Melaka selepas menumbangkan rejim Barisan Nasional (BN) yang berkuasa sejak 61 tahun lalu.
Bak kata pepatah, baru ‘setahun jagung,’ – ini bermakna masih terlalu awal untuk menilai pencapaian PH di negeri Hang Tuah ini.
Pun begitu, tiada siapa dapat menafikan pelbagai perubahan dapat disaksikan sejurus PH mengambil alih tampuk pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.
Dalam tempoh sesingkat itu, adalah tidak adil sama sekali bagi sesetengah pihak terutama pembangkang menuduh PH Melaka gagal menunaikan janji manifesto yang ditawarkan pada PRU lalu.
Rasionalnya, tuduhan seumpama itu lebih berpaksi kepada sifat iri hati dan cemburu terhadap kecekapan yang ditunjukkan Kerajaan PH mengurus negeri berbanding kerajaan terdahulu yang telah memerintah lebih enam dekad lalu.
Dengan kata lain, tuduhan sedemikian adalah politiking semata-mata bertujuan memancing undi.
PH MELAKA TIDAK LAGI MENOLEH KE BELAKANG
Sebaik mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Adly Zahari selaku Pengerusi PH negeri, tidak menoleh ke belakang lagi untuk merealisasikan manifesto berkenaan.
Sedar tak sedar dalam tempoh sesingkat itu juga, lebih 52 peratus atau 44 daripada 84 tawaran manifesto yang dijanjikan kepada berjaya ditunaikan dengan manfaatnya dinikmati sebahagian besar rakyat Melaka.
Dalam merangka manifesto, PH yang dipimpin Adly mengambil pendekatan berpijak di bumi nyata agar janji-janji yang ditawarkan tidak bersifat populis.
Antara janji yang dirasai secara langsung oleh rakyat ialah pelaksanaan perkhidmatan bas percuma di kawasan pusat bandar yang memberi impak positif terutama kepada penduduk berpendapatan rendah (B40).
Turut dirasai nikmatnya apabila kerajaan negeri memansuhkan bayaran meletak kenderaan di seluruh negeri pada setiap Sabtu dan Ahad.
Sekali pandang langkah itu mungkin dilihat merugikan kantung kerajaan negeri namun natijahnya ia berjaya melonjakkan lagi sektor pelancongan negeri.
Langkah segera lain yang dilaksanakan ialah mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilihat tidak efisien dalam menyelesaikan masalah rakyat tempatan selain wujud isu kronisme dan nepotisme.
UTAMAKAN RAKYAT MELAKA MILIKI RUMAH SENDIRI
Menyedari peri pentingnya aspek kediaman rakyat, kerajaan negeri mencetuskan pelbagai inisiatif bagi memastikan setiap keluarga memiliki rumah sendiri.
Ia terbukti apabila kerajaan negeri menyasar untuk menyediakan 500 unit Rumah Berkat dalam tempoh lima tahun bagi memenuhi keperluan pasangan muda yang baru berkahwin menyewa kediaman itu selama tiga tahun.
Inisiatif itu bertujuan membantu pasangan muda baru berkahwin berusia 20 hingga 35 tahun daripada kelompok B40 untuk menyewa kediaman berkenaan pada kadar serendah RM150 sebulan.
Untuk itu kerajaan negeri merancang untuk memperluaskan program Rumah Berkat di tujuh lokasi termasuk di Kampung Padang, Ujong Pasir, Bukit Lereh dan Kemendor.
Tidak cukup dengan itu, nasib nelayan turut diberi perhatian serius apabila projek perumahan bernilai RM7.6 juta di kawasan seluas 5.6 hektar di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, bagi golongan itu akan disiapkan hujung tahun ini.
Sekurang-kurangnya 60 nelayan pantai bakal mendapat manfaat bagi kemudahan itu dengan harga serendah RM45,000 seunit.
Inisiatif lain yang turut dilunaskan dalam manifesto itu ialah menukar status pajakan tanah kediaman milik orang Melayu kepada Tanah Adat Melaka (MCL) dengan bayaran nominal RM1,000.
Kerajaan negeri turut menetapkan semua operasi pengeluaran hasil hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) dihentikan sementara waktu berkuat kuasa 1 Julai tahun lalu bagi membolehkan ia dikaji semula dalam usaha memulihara kualiti dan kelestarian alam sekitar.
HAPUS KRONISME & NEPOTISME
Dalam menangani isu kronisme dan nepotisme serta menjamin ketelusan proses pemerolehan tender, kerajaan negeri menetapkan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik tidak lagi mempunyai kuasa dalam Jawatankuasa Perolehan dan Tender.
Apa yang dinyatakan ini hanya sebahagian contoh inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan PH Melaka.
Hakikatnya banyak lagi inisiatif yang telah ditunaikan dan dirasai manfaatnya oleh rakyat.
Ia termasuklah usaha-usaha bagi merancakkan lagi sektor pelancongan dan perindustrian negeri yang menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Bukan mudah sebenarnya untuk melaksanakan semua inisiatif yang yang terkandung dalam manifesto kerana segalanya bukan boleh dilakukan sekelip mata.
Perlu diakui oleh semua pihak bahawa Kerajaan PH Melaka memerlukan tempoh lima tahun bagi melunaskan semua janji manifestonya.
Sebahagian inisiatif itu perlu dilaksanakan secara berperingkat termasuk beberapa perkara yang memerlukan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.
Misalnya berkaitan pinjaman mikro kredit yang memerlukan peruntukan daripada Kementerian Kewangan yang mengambil masa untuk diluluskan.
Jika dalam tempoh setahun Kerajaan PH berjaya melunaskan lebih 52 peratus janji manifestonya, keyakinan yang padu daripada rakyat kepada kerajaan negeri amat diperlukan dalam memastikan segala janji dapat direalisasikan dalam tempoh empat tahun berbaki.
Dengan apa yang diusahakan PH Melaka hari ini, tidak mustahil slogan Melaka Berwibawa yang digagaskan oleh Adly dapat direalisasikan menjelang PRU ke 15 nanti.