Pihak sekolah perlu imbangi pelajaran, sukan

TANJUNG MINYAK 25 Jan. – Pihak sekolah perlu menitikberat aktiviti kokurikulum supaya murid-murid dapat mengimbangi pelajaran dan sukan.
Justeru itu, Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak 2 (SKTM2) menganjurkan Penutup Kejohanan Merentas Desa Kali Ketiga bagi menyahut saranan itu.
Guru Besarnya, Ehsanudin Abd Jalil berkata, walaupun kerajaan mengoptimumkan peruntukan pembelanjaan, namun ia bukan penghalang pihak sekolah untuk mewujudkan aktiviti kokurikulum.
“Aktiviti seperti ini penting kerana ia dapat memberi pengalaman kepada murid-murid dalam sesuatu aktivti.
“Ia juga memberi pengalaman semasa kejohanan bagi membuat sebuah karangan sama ada Bahasa Malaysia mahupun Bahasa Inggeris,” katanya.
Katanya, pihak sekolah akan sentiasa mengadakan program yang dapat membantu membina potensi murid-murid.
“Aspek kesihatan fizikal menjadi satu elemen untuk murid-murid tahun enam memasuki sekolah berasrama penuh.
“Kalau dulu mereka dinilai pada keputusan akademik tetapi kali ini ianya dinilai secara keseluruhan,” katanya.
Hadir sama, GPK Pentadbiran, Syed Husain Syed Ismail; GPK Kokurikulum, Victory Udin dan Setiausaha Kokurikulum, Mohd Fitri Ab Karim.