Pimpinan muda perlu diterap sejak di bangku sekolah

MASJID TANAH 21 Jan. – Sifat kepimpinan perlu diterapkan sejak di bangku sekolah bagi memberi penekanan murid yang bakal memimpin masa hadapan.
Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Noor Effandi Ahmad berkata, sifat kepimpinan seperti pengawas sekolah, sekali gus membentuk pemimpin muda yang bakal dimanfaatkan murid.
Ujarnya, lantikan pengawas dipilih pihak sekolah bukanlah satu jawatan tidak bersebab, namun ia adalah satu peluang bermanfaat sebagai permulaan bagi membentuk pemimpin berwibawa.
“Ia selaras dengan prinsip Pakatan Harapan (PH) di bawah Kementerian Pendidikan yang sentiasa ketengahkan tiga hala tuju pendidikan negara ini yang mampu dibentuk bermula dari sifat kepimpinan pelajar sendiri.
“Hala tuju pertama dinyatakan pihak kementerian iaitu mengembalikan cinta ke dalam pendidikan, hala tuju kedua ketinggian kualiti sebagai pemangkin kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan dan ketiga, autonomi serta akauntabiliti dalam pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Pendidikan Alor Gajah, Abd. Malek Harun; Pegawai Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP), Hazmi Ali; Pengetua SMK Hang Kasturi, Noridah Ab. Rahim serta tetamu lain.
Pada majlis itu, kira-kira 200 murid terdiri dari enam unit pengawas berbeza menerima sijil watikah pelantikan pengawas disampaikan Noor Effandi.