Planetarium Melaka tidak selamat digunakan – Mohd Sofi

Planetarium Melaka tidak selamat digunakan – Mohd Sofi

AYER KEROH 24 Jan. – Planetarium Melaka yang mengalami kerosakan dinding dipercayai roboh pada tahun lalu didapati tidak selamat digunakan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan laporan forensik dan menyatakan bangunan itu tidak lagi selamat digunakan.

Ujarnya, bangunan yang beroperasi pada tahun 2009 itu menelan kos pembinaan RM20 juta terjejas berikutan kerosakan dinding berukuran 5×5 meter rosak akibat dari runtuhan berkenaan.

“Pihak kami telah menerima laporan forensik JKR dan memutuskan ia tidak selamat digunakan.

“Saya dimaklumkan, kakitangan yang ditempatkan di pusat itu telahpun dipindahkan susulan penutupan operasi itu sejak tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ujarnya, pihak berwajib telah membuat pemantauan dari semasa ke semasa terhadap bangunan pelancongan yang lain di negeri ini bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

“Apapun setakat ini, hanya satu laporan saja yang kita terima terhadap bangunan yang tidak selamat itu,” katanya.

Melalui kenyataan MelakaKini November lalu, kerajaan negeri mengarahkan bangunan Planetarium Melaka terletak di bulatan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dikosongkan selepas salah satu dinding dalam bangunan itu runtuh.

Mohd Sofi berkata, keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan awal mendapati insiden itu akan mengakibatkan tiga lagi dinding terdapat di bahagian tingkat satu turut tidak selamat.

CATEGORIES
TAGS