PM arah segera laksana Belanjawan 2020, pakej rangsangan ekonomi
Perbelanjaan perlu berhemat...

PETALING JAYA 3 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Belanjawan 2020 dan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan minggu lalu.
Perdana Menteri juga mahu Kementerian Kewangan memastikan pelaksanaan semua inisiatif berjalan lancar, memantau impak dan prestasi pakej rangsangan ekonomi.
Katanya, perbelanjaan lebih berhemah dan mengurangkan ketirisan perlu dilaksanakan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.
Beliau berkata, setiap projek yang akan dilaksanakan perlu diperhalusi supaya tidak membebankan komitmen kewangan dan hutang kerajaan.
“Keberkesanan program dan projek kerajaan perlu dipertingkatkan lagi supaya setiap wang awam yang dibelanjakan mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Muhyiddin menemui Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ahmad Badri Ahmad Zahir dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Saiful Anuar Hussen di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Pejabat Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut menumpukan agenda memperkasa aktiviti ekonomi domestik, memastikan kesejahteraan rakyat dan melonjakkan ekonomi negara ke tahap lebih kompetitif.