PMK bina rumah warga emas ditimpa bencana

PMK bina rumah warga emas ditimpa bencana

DUYONG 14 Mac – Politeknik Melaka (PMK) dengan kerjasama Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diberi peluang untuk membantu membina rumah warga emas yang ditimpa bencana.

Rumah tersebut didiami Md. Yasin Sulaiman, 76, dan isteri, Alimah Md. Idris, 72, bersama anak perempuannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di Bukit Duyong.

Rumah pasangan warga emas itu musnah dalam satu insiden kebakaran berpunca dari lintar pintas hujung tahun lalu.

Atas tanggungjawab bersama, PMK mengetuai beberapa insitusi TVET mengambil inisiatif berkerjasama dengan pemaju perumahan Sistem Binaan Berindustri (IBS) iaitu Sanc Group sebagai pembiaya utama bagi membina semula rumah tersebut.

Pensyarah Kejuruteraan Awam PMK, Anuar Nordin berkata, PMK merupakan pusat teknologi dalam bidang kejuruteraan awam.

“Sebagai pusat ilmu pengetahuan dan teknologi dalam bidang tujahan, kita aplikasikan pemberian perkhidmatan kepakaran, pelaksanaan penyelidikan dan inovasi serta peningkatan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran.

“PMK menjadi rakan kolaborasi Sanc Group bagi memberi pendedahan pembelajaran secara ‘hands-on’ berasaskan tempat kerja sebenar kepada pelajar,” katanya.

Pembinaan rumah tersebut menggunakan IBS merangkumi kerangka keluli, kerangka bumbung aluminium dan blok konkrit ringan.

Ia berkeluasan 5.4m x 16.8m yang mula dibina pada Disember 2018 dan dijangka siap pada tahun ini.

Projek pembinaan rumah bantuan itu turut disertai oleh beberapa institusi TVET yang lain seperti Politeknik Merlimau Melaka (PMM), ILP Bukit Katil dan Kolej Vokasional Port Dickson, Kolej Vokasional Melaka Tengah (KVMT) dan lain-lain.

 

CATEGORIES