PMM terokai Gua Batu Maloi

PMM terokai Gua Batu Maloi

AYER KEROH 4 Mac. – Seramai 21 ahli jawatankuasa (AJK) Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Politeknik Merlimau Melaka (PMM) berjaya menerokai Gua Batu Maloi, Johol Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ketua Jawatankuasa Latihan EKSA PMM, Arman Md. Said berkata, aktiviti itu bagi menyemai semangat kekitaan, sekali gus mengekalkan prestasi dan pensijilan EKSA yang diperolehi pada Julai 2018.

Katanya, laluan itu terdiri dari 80 peratus kawasan berair dan peserta perlu melawan arus sungai yang menjadi cabaran dalam ekspedisi tersebut.

“Gua itu terbentuk dari susunan batu granit yang membentuk laluan di celahan batu.

“Trek gua juga sering berubah kerana batu-batu tersebut dibawa arus air yang laju setiap kali hujan lebat,” katanya.

Ujarnya, sepanjang melalui gua itu, peserta perlu meredah trek yang menguji mental dan fizikal.

“Antara cabaran perlu ditempuhi seperti menyelam, melompat, merangkak, meniarap, menggelongsor, memanjat dan berenang dalam arus yang deras di celahan batu.

“Terdapat seorang pegawai yang cedera ringan, namun dengan bantuan rakan sepasukan, peserta itu berjaya habiskan 24 ‘check point’ sejauh 2.38 kilometer,” katanya.

Katanya, Gua Batu Maloi merupakan tempat tumpuan pelancong terutama bagi mereka yang meminati aktiviti lasak.

CATEGORIES