Pokok besar undang bahaya: Kerajaan negeri ambil maklum

AYER KEROH 20 Mac – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera berhubung masalah pokok besar yang menjadi faktor kepada kemalangan jalan raya di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pokok besar yang terdapat di bahu jalan khususnya di persimpangan mampu mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Kita akan berbincang bersama pihak terlibat bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Walaupun kehijauan negeri penting, tetapi keutamaan harus diberikan kepada rakyat lebih-lebih lagi ia melibatkan nyawa,” katanya.
Adly berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Allex Seah (DAP-Kesidang) pada hari ketiga Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 di Seri Negeri, hari ini.
Allex sebelum itu bertanya kepada Adly mengenai kemalangan jalan raya yang berlaku di Taman Merdeka, Batu Berendam disebabkan pokok besar yang menghalang pandangan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.