Polis, MPKK bantu wanita bersalin atas Pentas Budaya Klebang

Polis, MPKK bantu wanita bersalin atas Pentas Budaya Klebang

KLEBANG 17 Feb. – Panik dan cemas.

Mungkin itulah situasi yang dialami ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Persiaran Balik Buluh yang sedang bermesyuarat di balai raya di sini apabila dikejutkan dengan suara jeritan meminta tolong.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam, Jumaat lalu, jeritan tersebut datangnya daripada seorang wanita mengandung yang terbaring di atas Pentas Budaya Klebang dan menunjukkan tanda-tanda mahu melahirkan anak.

Pengerusi MPKK Persiaran Balik Buluh, Aizam Said berkata, wanita berkenaan yang merupakan warganegara Filipina datang ke kawasan itu bersama suaminya warganegara tempatan dan seorang anak berusia dua tahun sebelum tiba-tiba mengalami sakit perut dan berlaku pendarahan.

Katanya beliau segera menghubungi Balai Polis Batang Tiga dan ambulans dari Klinik Kesihatan Bukit Rambai untuk membantu selain turut menggerakkan ahli Biro Wanita MPKK untuk mententeramkan keadaan.

“Tidak sampai 10 minit, anggota polis tiba ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Bagaimanapun, sejurus tiba, bayi itu sudah pun meninggal dunia kerana dilahirkan belum cukup bulan. Namun, ibunya selamat dan segera dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kejadian di luar jangkaan itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Gue Teck yang memuji keberanian semua pihak yang cuba membantu wanita berkenaan.

“Apa yang berlaku baru-baru ini memang mengejutkan. Walaupun kita berduka dengan kematian bayi itu, namun kita juga lega kerana sekurang-kurangnya satu nyawa dapat diselamatkan.

“Terima kasih kepada semua yang membantu dan kita berharap perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Klebang hari ini.

Pada sidang media itu beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada dua anggota polis dari Balai Polis Batang Tiga, Sarjan Yusli Nadir dan Koperal Wan Zarina Wan Mohamed yang telah memberikan bantuan kepada wanita tersebut.

CATEGORIES