Polis pastikan Najib, Rosmah hadir beri keterangan kes rakaman audio – KPN

AYER KEROH 5 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berkemungkinan akan dipaksa untuk hadir memberi keterangan kepada pihak polis berhubung rakaman perbualan membabitkan beberapa individu yang didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya sebelum ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, turut akan dipanggil memberi keterangan adalah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Beliau berkata, polis akan mengguna pakai prosedur undang- undang terhadap ketiga-tiga individu tersebut bagi memastikan kehadiran mereka untuk diambil keterangan.
“Proses memanggil mereka memberi keterangan sedang berjalan dan ada ketika apabila dipanggil mereka tidak dapat datang dengan memberi alasan seperti mempunyai kes lain di mahkamah atau tidak sihat.
“Kita kalau boleh nak cepat tetapi mereka memberi alasan munasabah. Sekiranya tidak kita akan paksa dan perintah mereka untuk datang mengikut prosedur undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Peringkat Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar serta Ketua Polis Melaka, Datuk Md Kasim Karim.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, polis mengharapkan agar kes ini dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat agar kertas siasatan dapat dilengkapkan sepenuhnya.
“Kita kalau boleh hendak cepat. Dalam pada itu pegawai kita dalam usaha melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya polis juga akan memanggil bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang didakwa mengaitkan DAP dengan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Proses siasatan berhubung isu terbabit sedang berjalan susulan beberapa laporan diterima pihak polis.
“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman sudah mengambil tindakan untuk mengumpul maklumat,” tambahnya.
Terdahulu, pada istiadat berkenaan seramai 425 pegawai kanan dan rendah polis yang telah bersara serta masih berkhidmat di negeri ini dianugerahkan PJPN bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara semasa zaman darurat iaitu dalam tempoh Julai 1948 hingga Disember 1989.