Polis terus jejak Shahnol Sundara

Cari hingga ke lubang cacing...

Polis terus jejak Shahnol Sundara

MELAKA 18 Feb. – Usaha menjejak pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Shahnol Sundara’ masih giat dilakukan pihak polis ekoran tindakannya memuat naik berita palsu membabitkan wabak Covid-19, awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Laili Masduki berkata, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Sehingga kini polis masih belum menahan atau memanggil mana-mana individu membabitkan kes itu.

“Kes penyebaran berita itu masih dalam siasatan dan maklumat sudah dihantar kepada SKMM selain kami masih menunggu laporan daripada pihaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Ke Sekolah peringkat negeri yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mohamad Azam Ahmad di Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang, di sini, semalam.

Terdahulu, ‘Shahnol Sundara’ memuat naik video di laman sosial dengan mendakwa sebuah kapal dagang dari Wuhan yang membawa beberapa anak kapal, bersauh di Pelabuhan Kuala Linggi, Alor Gajah, di sini.

Susulan penularan dakwaan itu, Pengarah Kesihatan negeri Dr Ismail Ali, membuat laporan di Balai Polis Durian Tunggal, 6 Februari lalu selain kes disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

CATEGORIES