Popularkan kembali sektor pelancongan tersisih

Popularkan kembali sektor pelancongan tersisih

KOTA Supai di Kuala Linggi sunyi tanpa pengunjung.

SEJARAH Melaka yang ditawan Portugis, Belanda, British dan Jepun meninggalkan pelbagai bentuk jajahan sebelum diterjemahkan dalam bentuk pelancongan demi menjana pendapatan.

Untuk rekod, pelancongan merupakan penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri dalam sektor perkhidmatan dengan nilai RM16.1 bilion (44.8 peratus) iaitu yang terbesar, diikuti sektor pembuatan RM14.4 bilion (40.1 peratus) dan lain-lain sektor bagi tahun 2017.

Ianya sejak negeri kelahiran Panglima Hang Tuah dan empat saudaranya yang lain diiktiraf oleh Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2008.

Di mana negeri ini berterusan menjadi tumpuan pelancong menyaksikan tinggalan penjajahan dan warisan ketamadunan yang lesap suatu ketika dalu, kini diangkat kembali.

Usaha menarik puluhan juta pengunjung dari luar dan dalam negara juga makin diperkasa menerusi pelbagai inisiatif dan tahun lepas sahaja, Melaka mencatatkan sejumlah 16.79 juta berbanding 16.28 juta pelancong pada 2016.

Sehingga Jun 2018, Melaka mencatatkan 8.739 juta pelancong berbanding 8.14 juta pelancong bagi tempoh sama pada 2017.

Dari jumlah tersebut, berlaku kenaikan sebanyak 7.36 peratus melibatkan peningkatan seramai 599,037 pengunjung.

Jumlah itu turut melibatkan seramai 5.448 juta pengunjung domestik, manakala 3.291 juta bagi pelancong asing pada 2018.

Diikuti bagi tempoh sama pada 2017, seramai 5.375 juta pelancong domestik dan 2.770 juta pelancong asing berjaya direkodkan.

Namun, dari jumlah besar itu, pola perubahan lawatan pengunjung ke Melaka masih tidak berubah, apabila sebahagian besarnya masih tertumpu kepada kawasan bandar.

Manakala, pelancongan di kawasan Alor Gajah dan Jasin masih kurang mendapat daya tarikan, walaupun hakikatnya Melaka mempunyai hampir 800 lokasi bersejarah termasuk produk pelancongan.

Mengambil contoh situasi yang berlaku di Kota Supai, Taman Ekstrem Tasik Chinchin, Perkampungan Hang Tuah dan beberapa lagi lokasi yang kini sepi dan agak tersisih dari penglihatan pengunjung.

Dan keadaan itu agak berbeza jika dibandingkan dengan situasi di kawasan bandar, seperti Kota A’Famosa, Dataran Pahlawan, Perigi Hang Li Poh dan Sungai Melaka dan lain-lain yang kerap dibanjiri ribuan pengunjung, walaupun hari biasa.

Perkara itu turut diakui Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Jefri Munir yang menyatakan, pola pelancong yang kerap tertumpu di kawasan Bandar Hilir memberi impak kepada pelancongan di kawasan Alor Gajah dan Jasin hingga menyaksikan kedua daerah itu sukar diterokai sepenuhnya.

“Pelancongan di Melaka tidak hanya tertumpu di kawasan Bandar Hilir, ia melangkaui kawasan berkenaan.

“Seperti di Alor Gajah dan Jasin, kedua daerah ini memiliki potensi, namun kurang diterokai dan dibangunkan.

“Ini yang kita cuba sedang buat, memberi kesedaran kepada pengunjung dan agen pelancong bahawa pelancongan di Melaka punyai skala lebih besar dan tidak tertumpu di kawasan bandar saja,” katanya.

Menjelang 2019, Melaka memperkenalkan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019 merangkumkan kesemua produk pelancongan di negeri ini supaya kesemua pemain industri di sektor terbabit menerima kesan positif.

Dengan tempoh perangkaan yang singkat, kira-kira kurang enam bulan selepas kerajaan baharu mengambil alih, pelan menarik pelancong ke negeri terbabit dijangka memberi keseimbangan terhadap corak kunjungan pelancong.

“Kesemuanya akan dirangkumkan dalam pakej yang ditawarkan syarikat pelancongan di kawasan pelancongan yang terpencil seperti di Jasin dan Alor Gajah.

“Kita berharap tahun depan menerusi TMM 2019, corak kunjungan orang ramai akan bertukar,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat persoalan, dengan pakej-pakej ditawarkan melibat produk-produk baru dan kawasan yang telah dibangunkan dengan nilai jutaan ringgit, adakah ia akan menghimpit produk pelancongan sedia ada?

Situasi itu berlaku, dengan pakej yang ditawarkan agen pelancong dan kempen dari kerajaan negeri terhadap produk pelancong negeri, beberapa kawasan dilihat terkesan.

Antara yang menerimanya adalah Planetarium Melaka yang dibangunkan dengan jumlah RM20 juta berkeluasan 0.7 hektar dan dikatakan sebagai planetarium tercanggih di Malaysia, malah terbesar di Asia, kini sepi.

Planetarium Melaka adalah contoh produk pelancongan di negeri ini, walaupun dipromosikan, namun kehadiran orang ramai ke lokasi itu kurang memberangsangkan.

Ini membuktikan kewujudan produk baharu dalam kesemua 12 sub sektor pelancongan menekan produk sedia ada, walaupun lokasinya dilihat strategik.

Tetapi, perkara itu sudah diteliti dalam rangka TMM 2019 dan telah dibaiki.

“Kesemua sub sektor pelancongan di negeri ini telah dikaji dalam TMM 2019 dan kita telah rangkumkan kesemuanya sekali dan memberi laluan kepada kawasan yang tersisih dalam pakej yang ditawarkan, kesemua produk akan berkait kali ini.

“Supaya sasaran 20 juta pelancong dari dalam dan luar negara pada 2019 dapat dicapai melibatkan anggaran pendapatan sekitar RM24 bilion,” jelas Jefri.

Dalam erti kata lain, pelancongan Melaka memainkan peranan penting memacu ekonomi negeri, tetapi ia harus bersifat adil.

Dengan inisiatif diambil pada 2019, jika taburan pelancong dilihat mencapai sasaran ke seluruh negeri, ia bukan saja memberi manfaat kepada pemain industri, tetapi mungkin menyumbang kepada penguraian kesesakan lalu lintas di Melaka.

CATEGORIES
TAGS