Potensi besar golongan belia ceburi bidang francais

AYER KEROH 26 Feb. – Golongan belia dilihat berpotensi tinggi untuk menceburi perniagaan francais yang berjenama besar dan prospek pertumbuhan yang lebih baik.
Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, galakan perlu diberi kepada golongan belia menceburi pernigaan tersebut supaya dapat mengelakkan mereka ditipu.
Menurutnya, peluang itu perlu direbut dengan memberikan perhatian kepada sektor makanan dan minuman (F&B) selain perkhidmatan yang kini semakin mendapat permintaan.
“Selain itu banyak bantuan yang disediakan kerajaan kepada mereka termasuk golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang mahu menceburi bidang perniagaan.
“Sebagai contoh, geran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pinjaman Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan banyak lagi bagi membantu golongan sasar itu,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd Rafiq turut menyarankan pengguna menggunakan talian bebas tol 1-800-886-800 dan aplikasi whatsapp di talian 019 2794319 bagi menyalurkan sebarang aduan berkaitan pengguna kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk diambil tindakan.