PPSMI: Wajar dilaksana tapi tidak perlu tergesa-gesa

Biar lambat asalkan berhasil...

PPSMI: Wajar dilaksana tapi tidak perlu tergesa-gesa

BANDARAYA MELAKA 10 Feb. -Kerajaan negeri yakin pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dilaksanakan namun ia tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa.

Exco Pendidikan Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, pelaksanaan dengan tergesa-gesa sebelum ini menyebabkan persediaan guru bagi menjalani sistem pembelajaran sekolah dalam keadaan tidak bersedia malah ekosistem yang tidak begitu kuat bagi menyokong matlamat yang diimpikan menjadikan ia gagal suatu ketika dahulu.

“Menerusi kajian menyeluruh termasuk semakan segala kekurangan dan kekangan yang berlaku bagi tempoh 10 tahun lalu iaitu bermula padan 2003 telah dilaksanakan dan apa yang paling penting, kesemua guru diberikan latihan dan pendedahan mencukupi.

“Saya menyokong penuh usul Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengembalikan PPSMI selaras dengan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

“Namun saya tidak bersetuju sekiranya jika PPSMI ini dilaksanakan bermula tahun 2021 kerana kegagalan sebelum ini antara faktornya disebabkan tergesa-gesa melaksanakannya,” katanya.

Menurut Effandi, PPSMI yang bakal dilaksanakan untuk kali kedua dalam sistem pendidikan negara ini perlu ditambah baik bagi memperhalusi kelemahan yang telah dilaksanakan seawal peringkat tahun satu dan bukannya serentak dengan pelajar tingkatan satu.

Jelasnya, sistem pendidikan sekolah rendah pada masa ini yang tidak menekankan peperiksaan bagi murid tahun 1 hingga tahun 3 membolehkan ia direalisasikan tanpa memberi tekanan melampau terhadap murid dan ibu bapa.

“Tiga tahun pertama alam persekolahan anak-anak kecil ini wajar dijadikan medium pendedahan awal yang menyeronokkan, penuh inspirasi dan paling penting mereka tidak melihat ilmu dan bahasa Inggeris itu satu bebanan atau tekanan.

“Biar lambat, 11 tahun untuk murid tahun pertama menamatkan persekolahan, tapi saya yakin akan hasilnya lebih kemas dan mencapai matlamat,” katanya.

CATEGORIES