Premis jual roti & kek kotor, diarah tutup 2 minggu

BANDARAYA MELAKA 25 Jan. – Bahagian pembuatan dan penjualan roti dan kek di sebuah pasar raya di sini, diarah tutup selama dua minggu bermula semalam.
Ianya selepas pemeriksaan mengejut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menemukan lipas dan ulat pada produk makanan di situ.
Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran JKN Melaka, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas mendapati penarafan kebersihan di bahagian tersebut tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan JKN iaitu 58 peratus manakala yang ditetapkan JKN ialah 71 peratus.
Katanya, pemeriksaan petang semalam mendapati premis roti dan kek di pasar raya itu terdapat hurungan lipas pada roti, lantai premis yang kotor.
Selain sampah bersepah dan peralatan tidak diletakkan di tempat sepatutnya serta saluran air tidak berfungsi dengan baik dan longkang tersumbat.
“Arahan tutup selama 14 hari ini dikeluarkan selepas kita dapati ada perkakasan yang sudah digunakan tidak dibersihkan biarpun sudah seminggu digunakan sehingga dihurung ulat, ditempatkan bersama peralatan yang sedang dipakai,” katanya.
Muhammad Ridzuan berkata demikian ketika ditemui selepas Ops Sempena Tahun Baharu Cina (TBC) oleh JKN Melaka di sebuah pasar raya, di sini.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong dan Timbalan Pengarah Kesihatan JKN Melaka, Amirullah Mohd Arshad.
Menurut Muhammad Ridzuan, pemilik premis ketika dirujuk memberi kerjasama mengikut arahan pihak kesihatan walaupun memberi reaksi terkejut.
Beliau berkata, pengurusan pasar raya terbabit sudah memohon untuk membuka semula bahagian roti dan kek, namun bahagian terbabit tidak dibenarkan beroperasi sehingga pihak JKN melakukan pemeriksaan semula.
Jelasnya, arahan penutupan itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, jika ingkar boleh dikenakan penalti mengikut Peraturan-Peraturan 397 akta yang sama.