Program berimpak tinggi bantu pembangunan belia Melaka

DURIAN TUNGGAL 24 Feb. – Aspek pembangunan belia menjadi antara agenda dan fokus utama kerajaan negeri sepanjang tahun ini.
Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee berkata, bagi merealisasikan perkara tersebut, pelbagai program berimpak tinggi telah dirangka dengan memberi penekanan terhadap aspek perpaduan.
Jelasnya, antara program yang bakal diadakan dalam masa terdekat ialah Youth For Unity yang akan diadakan pada 15 Mac depan dengan sasaran penyertaan seramai 3,000 belia dari negeri ini.
“Salah satu tema atau fokus bagi belia di negeri ini ialah untuk memupuk semangat perpaduan memandangkan perpaduan daripada masyarakat berbilang kaum menjadi salah satu nilai yang perlu kita pupuk di kalangan anak muda.
“Melalui salah satu perbincangan di antara saya, Jabatan Belia dan Sukan negeri (JBS) dan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob, perkara ini (perpaduan) adalah antara fokus utama kita ke arah pembangunan belia.
“Dari situlah lahirnya program Youth For Unity yang akan diadakan pada 15 Mac depan yang mana, kita menyasarkan seramai 3,000 belia dapat turun padang bagi memastikan mesej yang cuba kita bawakan akan tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan TM (KASTEL 2020) di Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), di sini.
Tambah Chee Yee, selain program berimpak tinggi, pihaknya turut komited dalam memastikan belia-belia di Melaka mempunyai platform atau peluang yang cukup dalam merealiasikan impian mereka di negeri ini.
Katanya, antara usaha dilakukan kerajaan negeri ialah dengan memperluaskan lagi program Rumah Belia, yang mana ia bukan sahaja menyelesaikan masalah perumahan buat anak muda, bahkan juga sebagai tapak untuk memastikan belia terus kekal di negeri Melaka untuk bersama-sama memajukan negeri ini.
“Program Rumah Belia telah memasuki fasa kedua yang telah kita lancarkan pada dua minggu lalu. Jadi, kita harap program tersebut sedikit sebanyak dapat memberi sumbangan kepada pembangunan belia di negeri ini,” katanya lagi.