Program CSR : Siswa UTeM curah bakti di Masjid Peringgit

Program CSR : Siswa UTeM curah bakti di Masjid Peringgit

DURIAN TUNGGAL 22 Jan. – Program Semai Bakti Pusara yang dijayakan oleh mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan gandingan dua fakulti yang diadakan di Masjid Peringgit di sini, baru-baru ini.

Dua fakulti itu adalah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UTeM.

Seramai 30 pelajar dari kedua-dua fakulti terlibat menjayakan program itu dengan kerjasama barisan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Menurut wakil pelajar FTKMP UTeM, Umar Faruq Helmi, program itu bertujuan menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat.

Jelasnya, dengan adanya aktiviti sebegini, para pelajar merasa lebih dekat dengan masyarakat sambil berbakti di Masjid Peringgit yang merupakan salah sebuah masjid warisan tradisional di negeri ini.

Ujarnya, antara pengisian program adalah aktiviti pembersihan dalam kawasan masjid dan kawasan sekitar, sekali gus meningkatkan keceriaan masjid tersebut.

Sementara itu, wakil pelajar FTKEE, Muhammad Harish Ilman Rosli berkata, dia dan rakan-rakan turut mengambil peluang membuat kerja-kerja pembersihan di kawasan pusara.

Katanya, aktiviti mengecat batu-batu nisan antara usaha pelajar bagi memulihara keadaan kawasan berkenaan.

Secara keseluruhannya, mahasiswa UTeM bukan hanya tertumpu dalam usaha peningkatan kecemerlangan akademik semata-mata, malah turut mempraktikkan kemahiran insaniah dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Program itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee.

Norhizam berbesar hati dengan kumpulan pelajar UTeM yang menjayakan program yang memberi manfaat ini.

CATEGORIES