Program Penutup 10,000 Langkah UiTM Kampus Jasin erat silaturahim kalangan staf

JASIN 18 Feb. – Seramai 80 staf akademik dan pentadbiran serta pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin menyertai Program Penutup 10,000 Langkah Nak Sihat 2018 & Perasmian Gaya Hidup Sihat 2019 di Kompleks MSN Saujana Asahan Melaka di sini, semalam.
Program bertemakan Nature Walk dirasmikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Melaka, Ahmad Khairuman Md. Hasim mewakili Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Datuk Sabariah Mahat.
Menurut Penolong Rektor UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin Melaka (KJM), Prof. Madya Dr. Mohd Rasdi Zaini; matlamat utama program itu bagi mewujudkan warga kerja yang mengamalkan kerja berpasukan dan gaya hidup sihat serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan staf.
Katanya, ia juga bertujuan menguatkan jati diri dan menggalakkan warga KJM mengamalkan senaman secara berterusan.
“Keupayaan merempuh ranjau sepanjang aktiviti ‘Jungle Trekking Nature Walk’ sejauh tujuh kilometer atau 10,000 Langkah di kaki Gunung Ledang ini adalah satu bukti yang menunjukkan warga UiTM Kampus Jasin punyai keyakinan diri yang tinggi
“Selain ketabahan yang padu dan bersedia mencurahkan bakti melahirkan anak bangsa yang berketerampilan & berwibawa,” katanya.
Mohd Rasdi berkata, selain menekankan aspek gaya hidup sihat, program anjuran Unit Kesihatan KJM itu juga antara aktiviti promosi kesihatan yang unik.
Selain dapat memberi kesedaran kepada warga UiTM untuk memperlihatklan keakraban dan semangat kerjasama tinggi dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan bermotivasi.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Khairuman berharap program 10,000 Langkah yang mula dijalankan sejak tahun 2016 itu dapat diteruskan lagi dengan penyertaan dan penganjuran yang lebih unik dan kreatif dari semua kumpulan penganjur terdiri dari bahagian, unit dan fakulti UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin.
“Program ini bukan saja dapat menjadikan warga UiTM menjadi sihat dan cergas, malah dapat memacu ke arah pembentukan generasi muda yang hebat dan cemerlang dari segi akademik dan sahsiah diri, rohani dan jasmani” katanya.