Program ‘Stemazing Camp’ pupuk minat murid subjek Sains & Matematik

Program ‘Stemazing Camp’ pupuk minat murid subjek Sains & Matematik

INTERAKSI antara peserta dengan ketua program sewaktu Program ‘Stemazing Camp’ di Resort Agrofarmstay, baru-baru ini.

DURIAN TUNGGAL 25 Sept. – Seramai 100 murid Tahun 4 dan 5 sekitar Negeri Melaka terlibat dalam program ‘Stemazing Camp’ di Resort Agrofarmstay di sini, baru-baru ini.

Program itu bagi memupuk minat pelajar sekolah rendah terhadap subjek sains dan matematik anjuran Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE UTeM, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM).

Selain UTeM, JPNM juga komited melontarkan inisiatif sebagai menyemai minat murid terhadap dua bidang tersebut.

Ketua Projek merangkap Ketua Sub-kluster Mekanikal UTeM, Dr. Mohd Afzanizam Mohd Rosli berkata, menerusi program itu, mereka telah memilih projek membangunkan kereta lumba berkuasa angin untuk direka cipta oleh kumpulan pelajar terbabit.

Katanya, setiap kumpulan dibekalkan bahan-bahan yang mudah didapati seperti penutup botol, straw, lidi, kepingan kertas keras, getah gelang, lidi, belon dan pita pelekat untuk membina sebuah kereta lumba berkuasa angin.

“Pemilihan barang-barang yang mudah didapati ini sengaja dilakukan bagi menggambarkan aktiviti berasaskan sains adalah mudah, ringkas dan berada dekat di sekeliling kita,” katanya.

Di samping elemen pertandingan, murid juga diberi peluang membentangkan hasil kerja dan berkongsi pendapat semasa sesi perkongsian ilmu “knowledge sharing” di akhir program.

Sementara itu, bagi melancarkan program, setiap kumpulan pelajar ditempatkan seorang fasilitator terdiri kalangan guru-guru dan juga para pelajar tahun akhir FKM UTeM.

Menurut Ketua Fasilitator, Siti Khuzaimah Mohd Amin, setiap fasilitator ditugaskan untuk memberi penerangan dengan menekankan elemen-elemen sains yang terlibat dalam proses pembikinan kereta tersebut.

Jelasnya, semoga jalinan kerjasama program seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memberi manfaat kepada murid-murid secara menyeluruh.

“Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ kerana mereka adalah peneraju bidang sains dan matematik pada masa hadapan,” katanya.

CATEGORIES