Projek bangunan MBMB di Dataran Klebang diteruskan – Adly

Projek bangunan MBMB di Dataran Klebang diteruskan – Adly

ALOR GAJAH 28 Jan. – Projek pembinaan bangunan baharu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran Klebang tetap akan diteruskan, namun bukan untuk kegunaan MBMB.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, projek yang terhenti sejak tahun lalu itu akan dilaksanakan semula menerusi pembangunan baharu.

Katanya, ianya setelah MBMB memilih syarikat swasta yang berminat meneruskan projek berkenaan selain tender projek telah dibuka kepada mereka yang mahu meneruskannya.

“Kita dah buat tender terbuka dan terima pelbagai cadangan, di peringkat MBMB akan memilih cadangan terbaik, ada cadangan yang hendak buat pasar raya, namun wajar kita melihat cadangan ke arah pelancongan.

“Kita masih belum tahu apa yang hendak dibuat, kalau kita tengok Sunway pun ada beri cadangan, tapi saya pulangkan kepada MBMB kerana mereka telah membuat tender terbuka.

“Ia termasuk melihat dari segi kos dan sebagainya dan memastikan Klebang sebagai kawasan pelacongan bagi selesaikan kesesakan bandar,” katanya.

Adly berkata demikian kepada media ketika ditemui pada program Bertemu Rakyat Perdana di Dewan Masjid Ar-Rasyidin di sini, Jumaat lalu.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata, pejabat MBMB akan terus kekal di bangunan Graha Makmur, Ayer Keroh.

Ujarnya, ianya setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk kos kira-kira RM400 juta yang perlu ditanggung PBT itu dalam tempoh 25 tahun sekiranya pembinaan bangunan MBMB diteruskan.

Menurutnya, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua aspek terus menjadi keutamaan iaitu kebajikan pekerja dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat berbanding pembinaan bangunan baharu.

Sebelum ini, warga Klebang Besar merayu kerajaan negeri supaya meneruskan semula pembinaan projek bangunan baharu MBMB di kawasan terbabit yang dihentikan pada pertengahan tahun lalu.

CATEGORIES