Projek Tanaman Cendawan Tiram Kelabu bantu madrasah jana pendapatan

Projek Tanaman Cendawan Tiram Kelabu bantu madrasah jana pendapatan

NAZRI ketika merasmikan projek tersebut.

ALAI 18 Okt. – Pelaksanaan Projek Tanaman Cendawan Tiram Kelabu membantu pihak madrasah menjana pendapatan melalui penghasilan cendawan tiram kelabu.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Mohamad Nazri Ismail berkata, projek itu merupakan program Polytechnic Social Responsibility (PSR).

Menurutnya, usaha itu digerakkan oleh Kumpulan Care4U iaitu pelajar Jabatan Pelancongan & Hospitaliti PMM bagi memenuhi keperluan pertandingan ‘Young Sosial Entrepreneurship 2.0′.

Katanya, tujuan utama projek ini bagi membantu pihak madrasah pendapatan melalui penghasilan cendawan tiram kelabu.

“Seperti kita tahu, kebanyakan pusat tahfiz bergantung pada sumbangan orang ramai dalam memastikan dana mereka mencukupi setiap hari.

“Alhamdulillah, dengan adanya projek ini sedikit sebanyak dapat bantu pihak madrasah menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Projek Tanaman Cendawan Tiram Kelabu di Pusat Tahfiz Madrasah Ar-Rabbaniyah, Kampung Alai, baru-baru ini.

Jelas Nazri, projek itu juga mendidik pelajar bahawa dalam perniagaan yang bakal dijalankan, terdapat hak sosial yang perlu dilaksanakan kepada mereka yang memerlukan.

“Kita harap projek ini dapat menambah nilai keusahawanan pelajar madrasah ini, sekali gus memberi penjenamaan semula imej madrasah dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, jangka hayat penggunaan setiap satu bongkah (botol) penanaman cendawan ini, boleh mencecah hingga enam bulan di mana setiap 45 hari hasil akan dituai.

Beliau memberitahu, sepanjang tempoh enam bulan, sebanyak 500 kilogram cendawan yang akan dihasilkan.

“Harga cendawan di pasaran ketika ini boleh mencecah hingga RM15 sekilo, jadi pihak madrasah boleh menjana pendapatan sekitar RM7,500 sebulan hasil tanamannya,” katanya.

Kumpulan Care4U ini merupakan salah satu dari dua kumpulan yang akan mewakili PMM ke peringkat akhir pembentangan pada hujung Oktober ini di Politeknik Sultan Ahmad Shah Kuantan Pahang (POLISAS).

Projek tersebut juga mendapat tenaga pakar dari Syarikat Sinar Syukrawie Enterprise.

CATEGORIES