PROMIS 5.0 latih semangat berpasukan pelajar

MERLIMAU 21 Jan. – Seramai 40 barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menyertai Program Kepimpinan Mahasiswa Dinamis (PROMIS) 5.0, baru-baru ini.
Pengarah PROMIS 5.0, Mohamad Hasbullah Mustafa berkata, pelajar yang terlibat adalah mereka yang baru memenangi Pilihan Raya Kampus yang diadakan pada 9 Januari lalu.
Menurutnya, ia acara tahunan bagi mendidik serta melatih pelajar mengenai aspek kepimpinan, personaliti dan komunikasi.
“Ini pendedahan kepada peserta tentang peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar di kampus, melatih kemahiran-kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi.
“Selain membentuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan barisan pimpinan baharu MPP PMM,” katanya.
Katanya, pelbagai aktiviti disusun pihak jurulatih Serama Adventure Park, Melaka dan urus setia bagi mencapai objektif yang digariskan.
“Antaranya rempuh halangan, aktiviti tali tinggi, aktiviti latihan dalam kumpulan, latihan pengucapan awam, masakan rimba, ceramah motivasi dan aktiviti pergerakan yang lain.
“Aktiviti ini disusun bagi melahirkan pemimpin yang punyai daya tahan menghadapi tekanan, sentiasa proaktif dan sistematik dalam tindakan mereka,” katanya.
Program selama tiga hari itu anjuran Unit Pengurusan Psikologi melalui kerjasama Jabatan Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar PMM.
Program itu disempurnakan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar PMM, Mohd Hoirie Abdul Manah.