Promosi Melaka menerusi makanan tradisional

Promosi Melaka menerusi makanan tradisional

BANDARAYA MELAKA 10 Jun – Pemberian kuih tradisional secara percuma kepada orang ramai, membantu mempromosi negeri ini sebagai destinasi makanan popular kepada pelancong dalam dan luar negara.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pemberian kuih tradisional di Bazar Ramadan sangat baik bagi membantu memperkenalkan semula kuih-kuih tradisional kepada masyarakat.

Menurutnya, program itu dikenal pasti sebagai salah satu program yang berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Melaka.

“Acara tersebut juga dapat memperkenalkan kuih-muih dan juadah tradisi masyarakat Melayu disediakan bagi menyambut perayaan Aidilfitri.

“Acara ini dilihat mampu menghangatkan lagi menjelang sambutan Aidilfitri dengan tradisi penyediaan kuih tradisional dan dodol oleh masyarakat dulu.

“Di samping dapat menyemai semangat gotong-royong kalangan masyarakat tempatan,” katanya.

Adly berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kacau Dodol Bersama Ketua Menteri di Bazar Ramadan Mega 2018 di Jalan Hang Tuah di sini, Jumaat lalu.

Di majlis itu, Adly turut mengedarkan dodol, wajik, lemang dan kuih bahulu kepada orang ramai.

Adly juga pada masa sama, turut menyampaikan cabutan bertuah kepada pengunjung bertuah.

Program julung kali diadakan ini adalah anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew; Exco Industri, Perdagangan dan Pelaburan, Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Azmi Hussain.

CATEGORIES
TAGS