PSGNM sapu bersih juara dua kategori pertandingan silat

Tahniah atas kejayaan...

PSGNM sapu bersih juara dua kategori pertandingan silat

AYER KEROH 10 Feb – Berbekalkan komitmen dan disiplin yang tinggi menjadi kunci kejayaan kepada Pertubuhan Pengamal Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGNM) Negeri Melaka menyapu bersih dua kategori dalam Festival Adat, Budaya dan Warisan Melayu.

 

Festival anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) negeri itu membabitkan sebanyak sembilan pertubuhan dan persatuan silat bagi merebut gelaran juara dua kategori iaitu berpasangan dan berkumpulan.

Antara pertubuhan yang menyertai festival berkenaan termasuk Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia cawangan Melaka; Perguruan Gerak Tok Anjang dan Persatuan Seni Silat Panca Laksamana Melaka.

Naib Timbalan Pengerusi PSGNM, Rahmat Azmi berkata, kejuaraan yang diraih pertubuhan berkenaan membuahkan hasil apabila setiap ahli yang menyertai pertubuhan itu menunjukkan komitmen untuk hadir pada setiap latihan yang diadakan.

“Bagi saya, komitmen dan disiplin yang tinggi antara ahli persatuan membuktikan kita mampu pergi lebih jauh.

“Buktinya kita berjaya dan mampu melahirkan pesilat dalam kalangan belia untuk ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui MelakaKini selepas perasmian penutup festival berkenaan di Taman Mini Malaysia.

Dalam program itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlin Alias mewakili Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis merasmikan penutup festival.

Sementara itu, Pengerusi program, Helmi Mohamd Yusop berkata, program berkenaan berjaya mengumpulkan persatuan seni silat yang berdaftar di bawah Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) negeri bagi melahirkan lebih ramai pesilat negara berbakat.

Katanya, kira-kira 200 peserta terdiri daripada pelbagai golongan usia bermula 12 hingga 35 tahun menyertai festival berkenaan.

“Kali ini kita berjaya mengumpulkan sembilan pertubuhan seni silat dan kita jangkakan festival yang lebih besar akan diadakan pada Jun ini yang akan menghimpunkan penyertaan yang lebih besar.

“Kita sasarkan penyertaan peserta dari Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia,” katanya.

CATEGORIES