Puas hati prestasi Melaka United

KEMENANGAN Melaka United ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras turut mendapat perhatian wakil Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) yang juga Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Yuhaizad Abdullah yang turut hadir ke stadium terbabit memberikan sokongan kepada Skuad Hang Tuah.
Beliau katanya berbangga dengan kemenangan kedua yang dicatatkan pasukan itu sekali gus meningkatkan peluang Melaka United untuk terus kekal dalam Liga Super musim depan.
“Strategi membawa masuk beberapa pemain baharu termasuk import yang lebih baik oleh pengurusan MUSA ternyata berhasil apabila prestasi Melaka United dilihat jauh lebih baik dalam dua perlawanan terakhir Liga Super berbanding sebelum ini.
“Biarpun dengan kemasukan enam pemain baharu, saya lihat persefahaman antara mereka di atas padang cukup baik sekaligus menyumbang kepada kemenangan Melaka.
“Tahniah diucapkan kepada barisan pemain, jurulatih dan pengurusan MUSA atas prestasi membanggakan yang dipamerkan pasukan ini, semoga momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Hadir sama menyaksikan perlawanan itu ialah Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.