#QuranHour mampu lahir legasi patuh perintah Allah

#QuranHour mampu lahir legasi patuh perintah Allah

AYER KEROH 7 Jun – Kempen #QuranHour berjaya menggalakkan masyarakat berinteraksi dengan al-Quran melalui kaedah tadabbur (memahami), tazakkur (mengingati) menerusi penyampaian kandungan ayat-ayat suci al-Quran.

Ianya dikupas secara lebih terperinci, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim.
Jelas beliau, usaha digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas mampu diaplikasikan kepada setiap lapisan dan kluster masyarakat sesuai dengan peranan al-Quran sebagai mukjizat dan petunjuk akhir zaman.

“Quran Hour bertujuan mengajak masyarakat mengubah ekosistem yang ada kembali semula kepada sistem berteraskan al-Quran.

“Ianya dengan matlamat melahirkan sebuah legasi masyarakat yang bertindak dan berfikir menurut acuan al-Quran.

“Selain itu, program Interaksi dengan al-Quran melalui Baca Faham dan Amal turut mengajak masyarakat mendalami intipati al-Quran dan tidak sekadar membaca dan menghafaz tanpa mampu menghayati isi dan pesanan disampaikan oleh Allah SWT,” katanya.

Roslan berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran World #QuranHour Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Alami MITC, hari ini.

Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Penjawat Awam Negeri Melaka itu merupakan program tahunan dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama Rumah Ngaji dan Sahabat Al-Quran Negeri Melaka.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Abdul HalimTawil dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Yaakub Md. Amin.

Turut hadir, Pengarah JAIM, Mohd Azhan Samat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim dan Pengarah Perpustakaan Negeri Melaka, Mohamed Aizamuddy Mohamed Idris.

Program World#Quran yang pada asalnya dikenali dengan Malaysia Ngaji @ Malaysia Quran Hour telah dinaik taraf kepada World#QuranHour mulai tahun 2016 dan dilaksanakan serentak di seluruh dunia ketika ini.

Antara lain penganjurannya bagi memastikan pelaksanaan program seumpama ini memberikan impak cukup bermakna bukan sekadar pada bulan Ramadan semata-mata, sebaliknya al-Quran itu difahami dan dihayati pada bulan-bulan yang lain.

Manakala bagi masyarakat Negeri Melaka khususnya yang beragama Islam, mereka turut digalak mengambil peluang yang dianjurkan seperti ini dalam usaha memastikan al-Quran senntiasa dekat di hati.
Selain dapat dilaksanakan secara berterusan walaupun pada bulan-bulan yang lain selain Ramadan.

CATEGORIES
TAGS