Rabiatul Adawiyah terima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan MiCoST
Tahniah kepada yang berjaya...

AYER KEROH 3 Mac – Seorang graduan Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) dianugerahkan sebagai graduan cemerlang pada Konvokesyen MiCoST kali ke-6, baru-baru ini.
Pelajar cemerlang, Rabiatul Adawiyah Rozhan berkata, anugerah yang diterimanya itu adalah hasil tumpuannya pada pelajaran malah bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di kampus tersebut.
Menurutnya, Anugerah Dekan yang diterima sebanyak empat kali berturut-turut serta bergiat aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) MiCoST serta aktiviti kurikulum, kokurikulum mahupun khidmat masyarakat telah menjadikannya terpilih bagi menerima anugerah terbabit.
“Sebagai graduan Diploma Pentadbiran Awam, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan saya bersyukur dengan penganugerahan ini di atas usaha keras dalam menuntut ilmu di MiCoST.
“Jika ingin berjaya, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh. Jika gagal, usaha lagi, kerana kejayaan itu bukan mudah,” katanya.
Penerimaan anugerah pada program yang disempurnakan mantan Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad di Hotel Mudzaffar, MiTC telah meraikan kejayaan pelajar kolej itu menerusi tiga fakulti pengajian.
Seramai 197 graduan diraikan dari Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan serta Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia malah turut menganugerahkan empat anugerah utama pada program berkenaan.
Empat anugerah utama telah diberikan kepada graduan yang terpilih dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Antara anugerah terbabit adalah Anugerah Ikon MiCoST, Anugerah Graduan Terbaik Akademik, Anugerah Graduan Terbaik Ko-Kurikulum dan Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan.