Rakyat berbilang bangsa harap Adly kekal pimpin Melaka

Rakyat berbilang bangsa harap Adly kekal pimpin Melaka

AYER KEROH 27 Feb. – Rakyat berbilang kaum dan agama menzahirkan harapan agar Adly Zahari dapat dikekalkan sebagai Ketua Menteri Melaka, di sebalik situasi ketidaktentuan politik tanah air.

HAWA (kanan)

Seorang ibu tunggal, Hawa Saad, 40 berkata, keperibadian yang baik serta tidak sombong menjadi antara sebab yang menjadikan Adly harus kekal memimpin negeri ini.

“Ya, memang Adly yang terbaik. Bagi saya dia sangat mesra dengan rakyat dan yang paling penting tak sombong. Jumpa di mana-mana pun dia sentiasa OK dan selalu tersenyum,” katanya yang ditemui di Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara.

Nada sama disuarakan Israfezey Saad, 40, yang menyifatkan Adly lebih disenangi kerana menjadi pemimpin yang lebih mementingkan rakyat berbanding politik.

“Ketua Menteri banyak lakukan kerja untuk masyarakat seperti menjaga kebajikan dan sebagainya. Lagi pun, dia bukan seorang yang gemar berpolitik seperti yang terdahulu.

“Dia lebih mementingkan isu rakyat dan sentiasa memudahkan urusan rakyat untuk adakan pertemuan tanpa protokol seperti di Hari Bertemu Rakyat yang diadakan pada setiap hari Khamis,” katanya.

Pada masa sama, Adly turut disenangi masyarakat India yang mahukan kepimpinannya diteruskan untuk satu tempoh masa yang lama.

Bagi, M Kumaran, keperibadian yang ditonjolkan Adly sukar ditemui pada masa sekarang dan sedia menyatakan sokongan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Bukit Katil) itu terus menerajui negeri Melaka.

Begitu juga dengan Tamil Chelvan, 56, yang menganggap Adly sebagai antara Ketua Menteri terbaik yang pernah dimiliki Melaka selama ini.

“Ketua Menteri kita prihatin, boleh berunding secara depan-depan dan membantu semua kaum dan agama. Kita perlu kekalkan Ketua Menteri seperti ini. Bagi saya dia (Adly) antara yang terbaik kerana sentiasa dekat dan sering bertimbang-rasa dengan rakyat,” ujarnya.

WONG

Sementara itu, Wong Tian Shong, 62, mengakui bahawa Adly merupakan seorang pemimpin yang bukan sahaja disenangi masyarakat Cina, bahkan semua kaum yang ada di negeri Melaka.

Katanya, rakan-rakannya yang berbilang kaum sentiasa memuji keperibadian Adly sejak mula memimpin Melaka pada 2018 yag lalu.

“Dia (Adly) sangat dekat dan tidak sombong. Saya harap dia akan kekal dan saya percaya ramai lagi dari berbilang bangsa mempunyai pemikiran yang sama dengan saya,” katanya.

CATEGORIES