Rakyat mahu perkhidmatan Bas Panorama ditambah baik

Rakyat mahu perkhidmatan Bas Panorama ditambah baik


BANDARYA MELAKA 6 Jun – Bas Panorama adalah pengangkutan awam Negeri Melaka merupakan nadi utama bagi rakyat khususnya masyarakat luar bandar untuk bergerak ke serata negeri.

Baru-baru ini, perkhidmatan Bas Panorama dilihat semakin merosot apabila terdapat aduan menyatakan pihak Panorama gagal mengatasi kekurangan bas serta kekerapan laluan bagi perjalanan domestik sehingga menarik perhatian Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd Sofi Abdul Wahab.

Justeru itu, Harapan Melaka (HM) mengambil inisiatif menemu ramah orang ramai tentang kualiti serta mutu perkhidmatan Bas Panorama.

Penjawat Awam, Mohd Fahmi Mohamed Diah, 30, berkata, perkhidmatan Bas Panorama Melaka yang diperkenalkan beberapa tahun lalu dilihat telah membawa imej baharu kepada sistem pengangkutan awam di Melaka dengan menyeragamkan perkhidmatan bas domestik.

Katanya, transformasi itu bukan saja membabitkan penggunaan bas serba baharu, malah jadual pergerakan bas yang lebih bersistematik berbanding dahulu.

“Penggunaan bas elektrik juga wajar diteruskan sebagai menyokong Negeri Melaka menjadi Bandar Hijau dengan tidak melepaskan asap kenderaan pengangkutan awam terutama di sekitar Bandaraya Melaka.

“Bagaimanapun, masih terdapat bas yang gagal menepati waktu perjalanan sehingga menyebabkan kelewatan dan diharap perkara itu dapat dikurangkan demi memastikan kelancaran perkhidmatan Bas Panorama yang menjadi nadi penggerak pengangkutan awam Melaka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Banda Hilir, Mohd Jamil Abdul Wahab berkata, Bas Panorama yang perlu beroperasi dalam kawasan bandar tidak perlu bergerak terlalu jauh.

Contohnya, dari Ujong pasir ke Melaka Raya, Jonker Walk dan Hang Tuah Mall dan kemudian ke Melaka Sentral menyebabkan tempoh masa perjalanan terlalu lama.

Mohd Jamil berkata, jika kawasan perjalanan itu dikurangkan, ia akan bantu memendekkan masa, sekali gus memudahkan orang ramai khususnya pelancong.

Menurutnya, pihak Panorama juga diharap boleh mewujudkan sistem kad di mana setiap orang yang naik hanya perlu sentuh saja kad itu dan kad itu boleh ditambah nilai di mana-mana bagi memudahkan mereka.

“Pihak Panorama perlu menyeragamkan cara pemakaian kakitangan agar lebih segar dan mesra pelanggan,” ujarnya.
Kakitangan Awam, Yazid Shah Osman, 43, berkata, pihak Panorama harus menambah lagi perkhidmatan bas elektrik dan memperbaiki masalah kelewatan masa perjalanan.

“Di samping itu, pihak Panorama juga harus peka tentang keadaan dalam bas dan penampilan bas yang digunakan agar sentiasa bersih seiring status Negeri Melaka sebagai Negeri Hijau.

“Bas-bas juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar kawasan perjalanan dapat dipendekkan, sekali gus tidak memerlukan pengguna menunggu terlalu lama,” katanya.
Jurufoto, Siti Juhaida Jamari berkata, perkhidmatan Bas Panorama perlu lebih kerap dan lebih baik.

“Jika dulu kena tunggu sejam sekali, kita harapkan boleh ditambah baik ke sejam dua kali.

“Tetapi sebagai pengguna, kita faham kos yang ditanggung, cuma saya harap ia boleh dilaksanakan di kawasan-kawasan tumpuan.

“Pihak Panorama juga boleh meletakkan papan tanda jadual perjalanan di setiap hentian bas agar pengguna senang mengatur masa mereka untuk menunggu bas,” ujarnya.

Terdahulu kenyataan Mohd Sofi pada 22 Mei lalu berkata, Panorama Melaka hanya punyai 17 buah bas yang boleh beroperasi dengan baik daripada keseluruhan 60 buah bas untuk 19 laluan berbanding 26 laluan sepatutnya.

“Antara laluan dikenal pasti berdepan masalah itu adalah Melaka Sentral-Tampin melalui Cheng dan Durian Tunggal, Melaka Sentral-Masjid Tanah dan Melaka Sentral-Ujong Pasir.

Justeru itu, kerajaan negeri komited menyelesaikan masalah itu kerana ia membabitkan masalah rakyat terutama mereka yang tidak punyai kenderaan sendiri dan bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan media.

CATEGORIES
TAGS