Rakyat Melaka gunakan 220 liter air sehari

Rakyat Melaka gunakan 220 liter air sehari

AYER KEROH 19 Feb. – Kadar purata penggunaan air bagi setiap individu di negeri ini adalah sebanyak 220 liter sehari menjadikan nilai itu antara yang tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT), Damian Yeo Shen Li berkata, perkara itu diketahuinya semalam, ketika mempengeruskan mesyuarat MELCAT di Syarikat Air Melaka Berhad, bagi mengenal pasti isu air yang melanda negeri ini.

Menerusi mesyuarat itu katanya, Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan SAMB memberikan kerjasama penuh untuk menerangkan dengan jelas serta memperincikan isu berkenaan.

“Kita dimaklumkan penggunaan air di Melaka adalah tinggi dengan purata sebanyak 220 liter bagi setiap individu.

“Penggunaan itu adalah lebih tinggi berbanding negeri lain di negara ini, malah Singapura juga,” katanya dalam kenyataannya selepas mempengerusikan mesyuarat MELCAT.

Damian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong berkata, pengunaan air secara berlebihan bagi setiap individu itu disifatkan satu pembaziran.

“Kadangkala untuk mengatasi pembaziran air memerlukan kenaikan air yang tinggi, dan cadangan itu pastinya membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, untuk siasatan awal, pihaknya akan cuba menghubungi pakar dan pihak yang berkenaan bagi menangani isu.

Mengulas lanjut, pihaknya akan meminta pendapat ahli profesional sebelum menghasilkan pelan tindakan untuk dicadangkan dalam Dewan.

CATEGORIES