Rakyat tidak perlu risau – Anwar

Rakyat tidak perlu risau – Anwar


ALOR GAJAH 6 Jun – “Pelantikan Tommy Thomas dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggugat Perlembagaan negara atau Institusi Raja-Raja Melayu di negara ini,” kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Ketua Umum PH memberitahu, sebaliknya Tommy harus mengikut segala ketetapan dalam Perlembagaan dan beliau yakin Tommy akan bertindak atas kuasa dan dasar yang ada dalam Perlembagaan yang perlu dipatuhi beliau.

“Rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu risau pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara kerana ia tidak menggugat Perlembagaan serta Institusi Raja-Raja Melayu.

“Keprihatinan dititahkan oleh Raja-Raja Melayu disuarakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V adalah untuk memberi keyakinan tambahan kepada orang Melayu bahawa pelantikan ini berlaku dan baginda percaya Tommy akan tetap menjaga kepentingan Melayu dan Institusi Islam seperti diperuntukkan (dalam Perlembagaan),” katanya.

Anwar berkata demikian kepada media semasa menghadiri Majlis Moreh Bersama Rakyat di Dataran keris di sini, Selasa lalu.

Hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari; Ahli Parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Yusof; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Turut hadir, Pengerusi DAP Melaka, Tay Kok Kiew; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Muhammad Jailani Khamis serta barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Anwar mengulas kunjungan mengadap ke atas Sultan Muhammad V di Kelantan, malam kelmarin bagi membincangkan mengenai pelantikan Peguam Negara baharu menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata, atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Seri Paduka menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Kunjungan Anwar ke Melaka adalah yang pertama selepas mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

CATEGORIES