Ramai setuju ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’, tidak pinggirkan masyarakat

Ramai setuju ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’, tidak pinggirkan masyarakat

BANDARAYA MELAKA 19 Okt. – Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11 (2016-2020) oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen Khamis lalu yang memberi tumpuan enam tonggak utama meliputi pelbagai aspek pembangunan negara, mendapat pelbagai reaksi positif orang ramai.

Mahathir berkata, salah satu usaha itu ialah kerajaan akan memberi keutamaan dan penekanan bagi merealisasikan matlamat Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi tempoh akhir rancangan yang berlangsung dari 2018 hingga 2020.

Menerusi kajian Laporan Kajian Separuh Penggal RMK-11 2016-2020 dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pula, enam tonggak itu akan menyediakan tumpuan pembangunan baharu.

Ia meliputi 19 bidang keutamaan dan 66 strategi sejajar dengan hala tuju baharu kerajaan untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi.

Menurut laporan bertemakan ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ itu, walaupun ekonomi negara mencatatkan prestasi baik, namun dalam melangkah ke depan, pelaksanaan semua inisiatif pembangunan perlu diperkukuh untuk bertindak balas secara berkesan terhadap cabaran dalam negeri dan global.

Katanya, bagi tonggak ‘Memperkukuh Pembangunan Inklusif dan Kesejahteraan Rakyat”, laporan itu menggariskan bahawa pembangunan inklusif akan diperkukuh.

Ianya bagi meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia melalui penekanan kepada pertumbuhan dengan ekuiti.

Dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, kerajaan juga akan melaksanakan pelbagai usaha di bawah dua bidang keutamaan iaitu memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama.

Iaitu fokus kepada peningkatkan ekonomi golongan B40, Bumiputera, kumpulan minoriti serta usaha menangani keperluan kumpulan sasar khususnya.

Tumpuan juga akan diberi bagi meningkatkan aktiviti ekonomi terutama di kawasan kurang membangun dalam negeri dan wilayah serta mengurangkan jurang pembangunan antara bandar & luar bandar.

Menurutnya, tonggak utama terakhir dalam laporan RMK-11 itu menggariskan usaha kerajaan untuk memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.

Justeru, rakyat menyambut baik hasrat kerajaan yang dilihat memberi isyarat baik kepada rakyat supaya pembangunan infrastruktur terus diberi penekanan.

Ianya bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Sementara itu, Penolong Jurutera Syarikat Urus Tadbir Air, Mohamad Redha Arshad berkata, kerajaan perlu menggunakan pendekatan keterangkuman dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dan memastikan hasil kejayaan dikongsi secara meluas.

Katanya, seperti ditetapkan dalam RMK-11 (2016-2020), kerajaan Persekutuan komited memastikan setiap orang tanpa mengira jantina, etnik, status sosio-ekonomi dan lokasi geografi, boleh hidup dalam masyarakat yang benar-benar harmoni dan progresif yang menjadi tanda aras sebuah negara inklusif dengan ekonomi maju.

“Keutamaan dan penekanan ini akan meletakkan negara pada landasan betul ke arah menjadi negara maju dan inklusif.

“Justeru, keutamaan dan penekanan baharu yang telah diselaras dengan aspirasi kerajaan baru perlu berpaksikan kepercayaan, ketelusan dan akauntabiliti.

“Jadi, laksanakanlah pembangunan tersebut tanpa ada sebarang prejudis dengan mengaitkan hal-hal berkenaan dengan polemik politik kerana suasana pentadbiran pada hari ini banyak dikaitkan dengan mood politik pemimpin juga,” katanya kepada MelakaKini.

ALUWI…Pembangunan tidak sentiasa stabil, malah mengalami naik turun dan kita tidak boleh berpeluk tubuh.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Perjuangan Rakyat Malaysia (PPRM), Dr. Aluwi Sari pula berkata, negara melalui tempoh pertumbuhan ekonomi yang berkacau perlu memberi penekanan semula kepada konsep pembangunan seimbang.

Ianya dengan memperkenalkan strategi pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh produktiviti bagi meningkatkan daya tahan negara untuk menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21.

“Walaupun kita telah membuat persediaan, krisis kewangan yang melanda rantau ini telah memberi kesan secara langsung kepada Malaysia dan menyebabkan ekonomi negara mengalami kelembapan.

“Kita sekali lagi diingatkan bahawa landasan pembangunan tidak sentiasa stabil, malah mengalami naik turun dan kita tidak boleh berpeluk tubuh.

“Jadi, dalam usaha merealisasikan ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’, jangan abaikan aspek jati diri dan agama kerana ia perkara asas yang tidak wajar dikompromikan ketika semua pihak berusaha keras mengejar pembangunan,” katanya.

WILLIAM…Pembangunan yang terlampau rancak perlu dipantau bagi mengelak risiko lebih teruk.

Pengusaha Perkhidmatan Kesihatan Diri, William Cheong pula berpendapat aspek Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat hanya akan benar-benar bermakna jika tiada rakyat yang terpinggir.

Katanya, dalam usaha merancakkan usaha tersebut, negara tidak semestinya memerlukan pembangunan yang berlebihan bagi mengekalkan suasana sederhana yang wujud sejak sekian lama.

“Pembangunan yang terlampau rancak perlu dipantau bagi mengelak risiko lebih teruk untuk jangka masa panjang terutama jurang masyarakat dan menenggelamkan jati diri rakyat.

“Jika terlampau obses dengan pembangunan dalam bandar, rakyat luar bandar akan merasai jurang dan ini akan menyebabkan wudjudkan insiden rakyat terpinggir kerana gagal mengejar kemodenan dan pembangunan,” katanya.

CATEGORIES