RBM: Pemohon bakal nikmati subsidi pembelian 10 peratus

RBM: Pemohon bakal nikmati subsidi pembelian 10 peratus

AYER KEROH 14 Mac – Pemohon Skim Rumah Belia Melaka (RBM) yang diluluskan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri bakal menikmati subsidi pembelian rumah pada harga 10 peratus lebih rendah dari harga pasaran.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka negeri, Kerk Chee Yee berkata, pemohon yang layak mampu membeli rumah pada harga RM162,000 berbanding harga semasa iaitu RM180,000 hasil kerjasama Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Katanya, subsidi dan bayaran guaman serta duti setem turut akan dibiayai pihak pemaju bagi memudahkan golongan terbabit memiliki rumah.

“Menerusi Skim RBM ini, belia yang layak dan berjaya mendapat kelulusan dariJBS negeri boleh menikmati subsidi pembelian rumah sebanyak 10 peratus dari harga pasaran, manakala bayaran guaman dan duti setem akan dibiayai pihak pemaju.

“Fasa pertama (RBM) yang bertempat di Durian Tunggal akan dilancarkan pada 22 Mac 2019. Dalam fasa ini, sebanyak 104 unit rumah yang berharga RM180,000 (harga sebelum skim) dibuka untuk permohonan.

“Borang permohonan berkenaan boleh diperolehi di JBS Negeri Melaka, LPM dan pihak pemaju,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

https://t.me/melakakinidotmy

Chee Yee berkata, inisiatif yang dilaksanakan selari dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) itu turut memiliki beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

“Antaranya, pemohon perlu berusia 18 sehingga 35 tahun, pendapatan isi rumah bulanan RM8,000 ke bawah, warga Melaka atau pemastautin tetap selama lima tahun di negeri ini.

“Saya yakin skim dapat membantu golongan belia membeli rumah, pada masa yang sama tidak mengakibatkan lonjakan harga rumah atau membawa kesan negatif yang lain terhadap pasaran perumahan negeri secara umumnya,” katanya.

Tempoh hari, Ketua Menteri, Adly Zahari mengumumkan Melaka adalah negeri pertama melaksanakan inisiatif RBM, sekali gus membantu golongan belia bawah 40 tahun memiliki rumah dan tidak perlu bersaing dengan pemilik rumah yang lain.

Dalam kenyataan 8 Februari lalu, Adly memberitahu pembinaan RBM dijangka bermula tahun ini melalui dua fasa melibatkan 524 unit rumah.

CATEGORIES
TAGS