Remaja 14 tahun nikahkan dua kakak

Remaja 14 tahun nikahkan dua kakak

AMIERUL (tengah) bersama dua kakak dan abang iparnya yang dinikahkan sendiri olehnya, baru-baru ini.

BUKIT BERUANG 1 Okt. – Muhammad Amierul Adlie Basiran, 14, menarik perhatian masyarakat apabila menjadi wali termuda menikahkan kakak kandungnya, Nur Amirah Basiran dengan pasangannya di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj di sini, minggu lalu.

Terdahulu, Amierul Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar, Johor itu juga menikahkan seorang lagi kakaknya, Nur Aina Nabihah Basiran di lokasi yang sama.

Amierul Adle selaku anak bongsu dari lima beradik dan satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga tersebut berkata, dia memikul tanggungjawab menjaga keluarga seperti diamanahkan arwah bapanya, Basiran Ali yang meninggal dunia akibat kanser pada Ogos lalu.

Sepupu Amierul Adlie, Mohd Syukri Madnor berkata, pertama kali dalam hidupnya melihat remaja berusia 14 tahun mengijabkabulkan dua lelaki lebih berusia darinya dan kini sah menjadi abang iparnya.

“Majlis pernikahan dua kakak Amierul telah dirancang sebelum bapa mereka meninggal dunia Ogos lalu.

“Perkahwinan diteruskan dan apabila keluarga merujuk kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk calon menjadi wali dan mereka bertanya sama ada keluarga ini ada adik lelaki atau tidak.

“Keluarga memberitahu ada seorang adik lelaki berusia 14 tahun dan apabila diberitahu dia sudah cukup syarat utama, jadi kami putuskan Amierul akan menjadi wali pernikahan kakak-kakaknya.

“Sebelum itu, kami memang rancang untuk wakilkan kepada jurunikah, tetapi selepas berbincang dengan semua keluarga dan Amierul sendiri, akhirnya majlis dapat dilangsungkan dengan Amierul menjadi wali kepada dua kakaknya.

Kata Syukri, sehari sebelum majlis, Amierul telah berlatih bagi melancarkan majlis akad walaupun pada mulanya dia kelihatan agak gugup, namun berjaya melakukannya dengan baik.

“Perjalanan majlis bertambah baik. Dia semakin matang dan rata-rata tetamu turut terpegun dengan sikap dewasanya itu.

“Sebagai salah seorang keluarga rapatnya, saya berbangga dengan Amierul yang menunjukkan sifat matangnya itu.

“Malah, Amierul sendiri yakin memberitahu mahu menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki dalam keluarga,” jelas Syukri kepada MelakaKini.

Dalam pada itu, ibu remaja berkenaan, Rosiah Othman berkata, dia gembira dengan sikap Amierul yang sedia memikul tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga.

“Saya dalam tempoh edah dan tidak berada di kedua-dua majlis. Tetapi, saya tahu, Amierul telah melaksanakan amanat bapanya dengan baik.

“Sebelum ini, dia turut memandi dan sembahyangkan jenazah bapanya. Saya tanya juga kepada dia sama ada betul atau tidak dengan keputusan mewalikan kakak-kakaknya itu, dia dengan yakin jawab ‘ya betul’.

“Sebagai ibu, walaupun usianya masih muda, saya amat bersyukur dengan jiwanya yang besar itu,” kata Rosiah.

CATEGORIES