Remaja maut cedera parah di kepala

Remaja maut cedera parah di kepala

BANDARAYA MELAKA 13 Feb. – Seorang remaja perempuan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di persimpangan lampu isyarat Melaka Sentral di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

Mangsa, Ros Izanie Amira Mohd Yakub, 23, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa yang membonceng motosikal ditunggangi rakannya berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Bachang ke Bukit Baru.

“Siasatan mendapati ketika sampai di lokasi kejadian motosikal mangsa yang berada di kiri jalan bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kenari.

“Akibat pergeselan itu, motosikal dibonceng mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan menyebabkan mangsa tercampak ke atas pembahagi jalan selain kepalanya terhentak pada tiang lampu,” katanya kepada media.

Afzanizar berkata, pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya hanya mengalami luka di tangan.

“Bagaimanapun sehingga kini pemandu kereta yang didakwa terbabit dalam kemalangan tersebut masih belum membuat laporan polis.

“Polis meminta kerjasama orang awam atau saksi kejadian tampil ke balai berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

CATEGORIES