Remaja maut motosikal bergesel lori

Remaja maut motosikal bergesel lori

AYER MOLEK 26 Feb. – Seorang remaja berusia 16 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah lori di Lebuh AMJ Bukit Lintang-Tiang Dua, di sini, kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Mangsa, Muhammad Iskandar Mohd Rizal Abdul Rasyid meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dan pemandu lori terbabit dalam perjalanan dari arah Kandang menuju ke Umbai.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal ditanggangi mangsa telah bergesel dengan lori tersebut dan menyebabkan dia terperosok di bawah lori.

“Mangsa turut tercampak ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pergeselan itu,” katanya kepada media.

Sementara pemandu lori terbabit yang berusia 57 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Afzanizar berkata, mayat mangsa dihantar ke forensik Hospital Melaka (HM) untuk dibedah siasat.

“Kedua-dua kenderaan terlibat turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan Puspakom,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

CATEGORIES