Resort di Melaka ambil langkah pencegahan awal Coronavirus
Kesihatan dan keselamatan pelanggan diutamakan

AYER KEROH 11 Feb. – Peka dengan isu penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov), sebuah resort di sini, Bayou Lagoon Park Resort melaksanakan langkah pencegahan awal bukan sahaja membabitkan pekerja malah tetamu yang menginap di taman tema air itu.
Meletakkan keselamatan dan kesejahteraan pekerja serta tetamu sebagai keutamaan, beberapa langkah berjaga-jaga dan pencegahan awal diambil serta dilaksanakan seperti meningkatkan kekerapan pembersihan dan pembasmian kuman di seluruh kawasan resort.
Malah, pekerja resort terbabit disarankan memakai penutup mulut dan hidung.
Pihak resort juga meletakkan pembersih tangan di kebanyakan tempat untuk kegunaan tetamu serta memberikan nasihat dengan mengingatkan mereka agar menjaga kebersihan diri dan mengambil berat gejala seperti demam, batuk atau selesema.
Lebih penting, mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau tidak sihat boleh menghubungi penyambut tetamu bagi mendapatkan bantuan perubatan.
bayou General Advisory Coronavirus Sementara itu, Persatuan Hotel Budget Malaysia (MAH) turut mengeluarkan garis panduan kepada pengusaha dan pemilik hotel dalam mengambil langkah pencegahan awal menangani 2019-nCov bagi pekerja yang menjalankan operasi pembersihan.
Empat garis panduan yang disarankan adalah mengambil kira penggunaan bahan pencuci serta pembasmi kuman yang sesuai untuk pembersihan kawasan premis dan perlindungan diri pekerja ketika melakukan kerja pembersihan.
Garis panduan untuk pembersihan kawasan yang terdedah kepada wabak juga turut diberi penerangan serta langkah keselamatan yang perlu dipatuhi selepas selesai operasi membersihkan kawasan yang terjejas dengan wabak.