‘Reunion-One Big Family’ erat hubungan keluarga

`Air dicincang takkan putus'

‘Reunion-One Big Family’ erat hubungan keluarga

AZHAR YUSOF

AYER KEROH 31 Jan. – Hampir 100 orang melibatkan 10 ahli keluarga Mohamad Taha Zakaria, 81, dan pasangannya, Sa’odah Abu, 76, berkumpul sempena ‘Reunion-One Big Family’ di sini, baru-baru ini.

Program itu antara lain bermatlamat untuk mengeratkan silaturahim di samping beramah mesra terutama anak dan menantu yang tinggal di luar Melaka termasuk di Australia.

Pengerusi Program, Norazah Mohamad Taha memberitahu, program yang dirancang sejak beberapa bulan lalu itu akhirnya menjadi kenyataan apabila semua anak Mohamad Taha hadir bersama ahli keluarga masing-masing termasuk yang menetap di Australia `berkampung’ di sini.

“Selain beramah mesra, pelbagai acara diadakan antaranya perlawanan boling persahabatan (dewasa), mewarna, pertandingan peragaan pakaian tercantik dan kreatif yang melibatkan kanak-kanak.

“Semua acara dilangsungkan di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) di sini dalam suasana santai dan meriah,” katanya.

Norazah, 51, yang juga anak keenam daripada lapan beradik menjelaskan, sempena program tersebut, satu kutipan derma kilat diadakan untuk disalurkan kepada ahli keluarga yang memerlukan termasuk mereka yang sakit demi meringankan bebanan yang ditanggung.

“Sumbangan tersebut disampaikan kepada mereka sempena sesi riadah santai yang diadakan di Tasek Ayer Keroh.

“Memandangkan program yang diadakan mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli keluarga, kami merancang untuk menjadikannya sebagai salah satu aktiviti tahunan demi mengukuhkan ikatan kekeluargaan anak-anak Mohamd Taha,” katanya.

CATEGORIES