RM1.4 juta baik pulih perumahan lama di Melaka

RM1.4 juta baik pulih perumahan lama di Melaka

AYER KEROH 5 Feb. – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bakal menerima peruntukan kira-kira RM1.4 juta untuk membaik pulih perumahan lama di negeri ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Saleh Mohd Dom berkata, projek membaik pulih rumah itu diperuntukkan di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) yang disediakan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jelasnya, pihaknya akan mencadangkan beberapa perumahan lama Melaka seperti rumah pangsa yang sudah usang dan memerlukan baik pulih dari segi fasiliti.

“Daripada maklumat awal, kita dapat peruntukan RM1.4 juta dari KPKT untuk PPP ini. Jadi kita akan mencadangkan perumahan-perumahan lama yang ada terutamanya membabitkan rumah pangsa yang sudah lama tidak diselenggara.

“Jadi, peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki kemudahan seperti tangki air, pendawaian elektrik, cat semula dan lain-lain lagi.

“Tahun-tahun sebelum ini kita pernah membaik pulih perumahan di Peringgit dan Bandar Hilir.

“Untuk tahun ini, kita akan meneliti lebih lanjut perumahan yang perlu diberi keutamaan,” katanya dalam satu wawancara khas bersama MelakaKini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Saleh berkata, buat masa ini perumahan di Melaka tidak mempunyai masalah dari segi struktur, cuma kebanyakan perumahan lama itu kelihatan agak usang dan perlu diselenggara semula.

CATEGORIES