RM30,000 untuk AADK Melaka laksana pencegahan dadah
Semoga usaha membasmi penagihan dadah berjaya capai matlamat

TAMPIN 26 Feb. – Peruntukan sebanyak RM30,000 disalurkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri ini bagi memanfaatkan pelaksanaan program-program berkaitan kesedaran pencegahan dadah.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, peruntukan yang disalurkan itu sebagai sokongan kerajaan negeri terhadap agensi berkenaan bagi melaksanakan langkah kesedaran kepada masyarakat.
Ujarnya, peruntukan yang diterima itu perlu dilaksanakan membabitkan pelbagai program yang menggunakan pendekatan menyeluruh kepada konteks kesedaran masyarakat di seluruh negeri ini.
“Kita harap agar pada masa akan datang peruntukan ini akan ditambah melalui kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan kerana apa yang dilihat fasiliti di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di beberapa lokasi negeri ini agak kurang memuaskan.
“Perkara ini telah bertahun lamanya dan jika boleh kita mahukan pembangunan fasiliti PUSPEN terutama di Tampin ini ditambah baik disebabkan sumbangannya dalam membentuk masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MelakaKini selepas merasmikan Hari Antidadah Kebangsaan 2020 di PUSPEN Tampin, baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut beliau lagi, kerajaan negeri komited bagi menangani masalah jenayah dadah di negeri ini dengan meningkatkan pelbagai pelaksanaan menyeluruh membabitkan pelbagai pihak sejak Janari lalu.
“Bagi rekod statistik penyalahgunaan dadah tahun lalu, Melaka berjaya mencatat negeri kedua terendah di Malaysia dengan kadar sebanyak 3.5 peratus membabitkan 4,968 penagih direkodkan,” tambahnya.