Rogol anak: Pemandu teksi didakwa

Rogol anak: Pemandu teksi didakwa

AYER KEROH 15 Mac – Seorang pemandu teksi didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol anak kandungnya yang berusia 14 tahun sejak lapan tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 52 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan tersebut dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan empat pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual sebanyak empat kali sejak mangsa berumur enam tahun dan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Dia turut berdepan dua pertuduhan kerana merogol mangsa sebanyak dua kali semasa berumur 11 tahun termasuk pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina lalu.

Bagi pertuduhan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara antara lapan dan tidak lebih 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika bersalah.

Kesemua kesalahan terbabit didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Semabok Jaya sejak November 2011 hingga Februari 2019.

https://t.me/melakakinidotmy

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos ketika pendakwaan dijalankan, meminta mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh.

Ia berikutan usia mangsa masih kecil dan tinggal serumah dengan tertuduh, selain bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa serta saksi.

“Bagaimanapun, saya cadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan jika mahkamah mahu berbuat demikian,” katanya.

Elesabet kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 18 April ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

 

CATEGORIES