Rosmah dan dua anak beri keterangan berkaitan 1MDB

Rosmah dan dua anak beri keterangan berkaitan 1MDB

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anaknya dilihat meninggalkan Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini pada pukul 1.08 tengah hari selepas selesai memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu yang hadir bersama dua anaknya, Riza Aziz dan Norashman, berada di bangunan itu yang menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil selama lebih tiga jam.

Ketiga-tiga mereka yang tiba di situ pada pukul 9.45 pagi turut ditemani dua peguam.

Rosmah sebelum ini dijadual memberi keterangan kepada Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia semalam namun proses itu diminta ditangguhkan pada hari ini.

Pada 4 Okt lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya berkemungkinan memanggil Rosmah bagi mengambil keterangan melibatkan pelbagai kes termasuk 1MDB.

Lebih 50 pengamal media yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan jurukamera memenuhi kawasan lobi menara itu bermula pukul 8 pagi hingga pukul 1 tengah hari.

Sebelum Rosmah dan anak-anaknya meninggalkan bangunan itu, turut kelihatan pelakon yang juga penyokong UMNO Ellie Suriati Omar yang menunggu seorang diri berhampiran kumpulan pengamal media.

CATEGORIES