Rumah Habibah bukti keberkesanan kolaborasi kerajaan, swasta, IPT

Rumah Habibah bukti keberkesanan kolaborasi kerajaan, swasta, IPT

SERKAM 8 Mac – Kolaborasi kerajaan negeri bersama pihak swasta dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berjaya meringankan beban kerajaan dalam membantu golongan sasar yang memerlukan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri juga sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam memberikan perkhidmatan terbaik dengan mengenalpasti keperluan rakyat agar nasib mereka terbela, terutamanya melibatkan isu-isu perumahan.

Beliau memberitahu, usahasama yang dilaksanakan itu sangat baik kerana ia dapat memperkenalkan teknologi baharu dalam kerja- kerja pembinaan rumah menerusi Sistem Binaan Industri (IBS) yang melibatkan pelajar di peringkat IPT.

“Sehubungan itu, menerusi perancangan kerajaan untuk membina hampir 50,000 unit Rumah Harapan dan rumah mampu milik untuk rakyat dalam tempoh lima tahun ini, kolaborasi yang dilaksanakan di rumah Habibah ini boleh dipraktikkan, sekali gus dapat merealisasikan impian rakyat untuk memiliki rumah.

“Pada masa yang sama, pelajar berupakan mempamerkan kemahiran yang mereka pelajari di IPT dengan melakukan latihan amali di tapak-tapak projek seperti ini,” katanya.

Adly berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Habibah Abd. Jalil di Kampung Serkam Pantai di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan pemimpin-pemimpin masyarakat sekitar Serkam.

Mengulas projek pembinaan rumah Habibah, Adly memberitahu, hasil usaha Poay Tiong dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun ) Serkam bersama Syarikat Sanc Group berjaya melaksanakan pembinaan rumah baharu yang menggunakan sistem IBS.

“Pelaksanaan pembinaan rumah tersebut telah dilaksanakan pelajar-pelajar Kolej Komuniti Bentong Pahang, Kolej Vokasional Port Dickson, Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin, Kolej Komuniti Jelebu, Kolej Vokasional Melaka Tengah dan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin.

“Manakala pelajar Politeknik Melaka dan Politeknik Merlimau juga turut sama terlibat dalam menyiapkan rumah Habibah ini,” katanya.

Adly berkata, dengan sumbangan yang disalurkan Syarikat Sanc Group, kerja-kerja pembinaan rumah Habibah berjaya disiapkan hanya dalam tempoh tiga bulan sahaja yang bermula sejak 3 Ogos hingga 30 Oktober 2018.

Sementara itu, Habibah, 56, mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri termasuk pihak-pihak yang terlibat dalam menyiapkan rumah beliau yang musnah dalam kebakaran pada 30 April 2018 lalu.

“Saya tidak menyangka akan dapat rumah sebegini dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat menyiapkan rumah saya ini,” katanya.

 

CATEGORIES
TAGS