RUU berkaitan keselamatan negara dibentang bulan depan – Muhyiddin

RUU berkaitan keselamatan negara dibentang bulan depan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Beberapa pindaan dan pemansuhan akta berkaitan keselamatan negara akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan atau selewat-lewatnya dalam persidangan seterusnya, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya sebuah Jawatankuasa Khas Mengkaji Undang-Undang Keselamatan yang ditubuhkan Julai lepas telah selesai mengkaji enam akta serta satu hukuman terlibat dan laporannya sedang diteliti oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal di Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata akta-akta dan hukuman yang terlibat dalam kajian tersebut iaiah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan hukuman gantung mandatori dalam semua akta.

“Antara isu yang dibincangkan ialah penahanan tanpa bicara di bawah POCA dan POTA dan tempoh reman yang panjang iaitu 60 hari di bawah POCA dan POTA serta 28 hari di bawah SOSMA.

“Kementerian Dalam Negeri akan mendapatkan keputusan Jemaah Menteri mengenai pindaan atau pemansuhan undang-undang berkenaan, dan Jabatan Peguam Negara akan menyediakan rang undang-undang berkaitan selepas ia dipersetujukan Kabinet,” kata Muhyiddin semasa ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Polis Diraja Malaysia telah diarah untuk merangka prosedur operasi standard baharu bagi menangani kes membabitkan akta-akta berkenaan, sementara menunggu pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan diluluskan Parlimen dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Arahan saya ialah supaya pihak penguat kuasa undang-undang seboleh mungkin meraikan hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan bergerak bebas selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Ditanya keperluan melaksanakan moratorium terhadap enam akta dan hukuman mati mandatori itu, Muhyiddin berkata, undang-undang berkenaan masih berfungsi selagi ia belum dimansuh atau dipinda.

Terdahulu, Muhyiddin menerima satu memorandum daripada beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli keluarga tahanan SOSMA berhubung cadangan pemansuhan akta berkenaan di lobi Parlimen.

CATEGORIES
TAGS