Safiq, Shyamierul sertai senarai kecederaan selepas Singh Ferns

SELEPAS Curran Singh Ferns, pemain tengah Melaka United (MU), Shyamierul Razmee Jasmi dan Safiq Rahim pula menyertai senarai kecederaan selepas aksi pra-musim di Bandung, Indonesia tempoh hari.
Tiga pemain berkenaan antara lima pemain yang disahkan mengalami kecederaan dan dijangka berehat buat seketika.
Dengan Singh Ferns yang akan menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dalam masa terdekat bagi mengetahui tahap kecederaan hamstringnya, diikuti penyerang importnya Uche Agba yang tidak ‘terbang’ ke Bandung akibat masalah visa, MU dijangka berdepan situasi sukar untuk membariskan kesebelasan terbaik menjelang perlawanan pembukaan Liga Malaysia (Liga M), Februari depan.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li kekal optimis dengan situasi berkenaan.
“Singh Ferns akan berehat dua minggu, dia tak main buat masa ini dan sedang membuat rawatan fisioterapi serta akan menjalani imbasan MRI untuk mengetahui situasinya, sama ada serius atau idak.
“Selainnya, Shyamierul dan Safiq turut cedera.
“Walaupun hilang beberapa tonggak, keutamaan kita masih lagi ditumpukan terhadap persiapan kesebelasan terbaik,” katanya ketika ditemui MelakaKini, baru-baru ini.