SAMB FC selesa dilabel ‘underdog’

WALAUPUN dibarisi pemain berpengalaman dan memperoleh statistik menyakinkan semasa aksi pra-musim, namun skuad SAMB FC enggan terlalu yakin dan lebih selesa dilabel ‘underdog’ dalam aksi Liga M3 2019 yang membuka tirai Ahad depan.
Selepas tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan dan Rejimen Askar Melayu Diraja pada aksi pra-musim, skuad syarikat air berterusan bangkit dengan aksi bertenaga dan merekodkan dua kemenangan, dua kekalahan dan satu seri. – kemenangan paling besar setakat ini membelasah KSR Sains 4-0.
Dengan kemasukkan empat bekas pemain Singa Utara iaitu, Mohamad Fakhrullah Rosli, Jasmir Mehat, Mohd Yusri Abas dan Muhammad Sabri Adam memperkuatkan lagi gandingan pemain veteran dan muda yang dipilih musim ini.
Pengurus Pasukannya, Fairullizam Ishak yang lebih gemar pasukan tidak terlalu menonjol berjanji anak buahnya tetap akan memberikan aksi yang terbaik dalam mengakhiri musim ini dengan sasaran menduduki tangga lima teratas.
Katanya, beliau juga tidak berharap menjulang Piala M3 musim ini kerana beranggapan terdapat pasukan lain yang lebih hebat, berdasarkan persiapan dilakukan, namun meletakkannya sebagai bonus jika memiliki peluang.
“Bagi saya momentum dari bawah yang dibina sepanjang musim itu lebih baik berbanding terburu-buru mengejar sesuatu tanpa melihat kapasiti dan kekuatan pasukan.
“Apatah lagi, bagi saingan Liga M3, terdapat beberapa pasukan agak kuat seperti Kuching FA, Batu Dua FC dan lain-lain.
“Jika dilihat dari satu sudut, saya tidak kisah dan lebih selesa dilabel ‘underdog’ bahkan tidak berharap untuk menjulang piala musim ini.
“Tetapi ia adalah bonus buat pasukan ini, jika mampu mencipta kejutan dengan syarat momentum sedia ada perlu dikekalkan, apa yang penting menepati sasaran menduduki lima pasukan terbaik di hujung musim,” katanya.
Sementara itu, pasukan syarikat air ini yang dijadualkan bertemu Batu Dua FC minggu ini sudah menjangkakan laluan sukar, namun nekad memastikan kemenangan pertama di laman sendiri.
“Walaupun SAMB FC selesa berada di ‘bawah radar’, tetapi ia bukan bermakna kita akan tunduk dengan tekanan lawan.
“Dalam bola segalanya boleh jadi dan saya percaya dengan kekuatan anak buah Hamdan Mohamad,” katanya.