SAMB pergiat kerja-kerja penyambungan paip di kolam berhampiran Tasik Biru

SAMB pergiat kerja-kerja penyambungan paip di kolam berhampiran Tasik Biru

AYER KEROH 4  Mac – Kerja-kerja penyambungan paip ‘delivery’ di kolam berhampiran Tasik Biru di Jasin bagi dipam masuk ke Sungai Kesang sedang dipergiat Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sejak pertengahan Januari lalu.

Menerusi kenyataan kepada MelakaKini, SAMB menjelaskan kerja-kerja itu dijalankan bagi menstabilkan paras air sungai tersebut sekali gus mampu menampung bekalan sumber air sekitar 1,500 akaun pengguna di negeri ini.

Menurutnya, kerja-kerja penyambungan fasa pertama telah bermula 24 Januari lalu bagi kerja pemasangan pam nombor satu di Tasik Biru dan diteruskan untuk kerja-kerja fasa dua sejak 27 Februari lalu.

“Melalui kerja ini, setakat kelmarin sebanyak 185 juta liter air telah disedut ke Sungai Kesang dan mampu memberi jaminan bekalan air kira-kira 1,500 akaun pengguna dengan anggaran 6,000 orang.

“SAMB telah menggerakkan kerja-kerja ini dengan bantuan beberapa kakitangan dan dibantu jentera jenis ‘Pam & Pontoon’ bagi menjamin kerja-kerja ini dijalankan dengan lancar.

“Inisatif dijalankan SAMB ini adalah merupakan salah satu alternatif untuk menstabilkan paras air Sungai Kesang bagi proses pengepaman air mampu dijalankan dengan lebih baik.

“Walaupun inisiatif ini terbaik bagi menjamin keselesaan pengguna, SAMB mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah penjimatan air termasuk menjalankan kaedah kitar semula air kepada aktiviti seharian di rumah seperti menadah air hujan bagi mencuci lantai rumah dan kereta,” katanya.

CATEGORIES